Semangat Pemuda: Hero ataupun Zero?

Bismillahirrahmanirrahim…

Tidak dapat dinafikan pada mana-mana zaman sekalipun bahawa golongan pemuda adalah agen perubahan yang paling penting dalam sesebuah negara. Pemuda adalah mereka yang mempunyai segala ciri yang diperlukan untuk sesuatu perubahan itu berlaku kerana mereka sedang berada pada titik kekuatan yang terletak di antara dua titik kelemahan (iaitu masa kecil dan masa tua). Disebabkan itulah kita sering mendengar pada sejarah-sejarah yang tertulis, bahawa pemuda lah yang menjadi tulang belakang terhadap sesuatu kebangkitan sesebuah bangsa.

Menyedari potensi luar biasa yang ada pada golongan muda ini, ramai pihak yang berlumba-lumba menawan hati mereka supaya kelak dapat menjadi agen pelaksana kepada sesuatu ideologi ataupun fahaman. Alhamdulillah, ramai di kalangan pihak tersebut berniat ikhlas dan jujur untuk membimbing pemuda-pemudi ini supaya mempunyai jati diri yang teguh serta matlamat perjuangan yang jelas. Yang paling mustahak ialah matlamat perjuangan tersebut adalah matlamat yang benar dan berpandukan Al-quran dan sunnah Rasulullah saw. Melalui penelitian peribadi, saya dapati beberapa badan NGO yang terdapat di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membimbing anak muda di Malaysia supaya memiliki peribadi dan akhlak seorang muslim yang sebenar serta memberi ruang kepada mereka untuk berjuang pada jalan yang benar iaitu menegakkan semula daulah islamiah. Badan-badan NGO ini mempunyai madrasah tarbiyah yang mampu membentuk individu dan keluarga muslim yang bersedia untuk menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang hidup berlandaskan syariat. Pendekatan yang digunakan ini merupakan suatu qias daripada usaha pembinaan masyarakat yang dilakukan oleh Baginda saw. ketika mentarbiyah para sahabat untuk mendokong pejuangan menegakkan negara Islam.

Berkesempatan menunaikan solat di Masjid Tariq Ibn Ziad, Gibraltar.

Namun demikian, terdapat juga beberapa pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap semangat pemuda yang berapi-api ini untuk dimanfaatkan demi kepentingan peribadi mahupun politik, bukan lagi kepentingan umat. Kita seharusnya mengakui bahawa di sebalik kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam diri anak muda, terdapat suatu kelemahan yang perlu diberi perhatian iaitu kurangnya upaya untuk membuat keputusan dan penilaian dek kerana kurangnya pengalaman hidup. Justeru, kekurangan ini perlu ditampung oleh golongan yang lebih berpengalaman dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan muda supaya segala usaha dan penat lelah mereka dalam berjuang tidak akan menjadi sia-sia dan tiada hala tuju.

Namun, perkara inilah yang saya lihat masih kurang berlaku di tanah air kita. Puak-puak yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi ini seringkali mengambil kesempatan terhadap anak muda. Mereka akan menyogokkan pelbagai ideologi perjuangan yang hanya berorientasikan keuntungan terhadap kepentingan mereka tanpa memikirkan musibah yang bakal menimpa golongan anak muda itu sendiri. Akhirnya, perjuangan yang anak muda sangkakan sebagai sebuah perjuangan yang benar rupa-rupanya tidak lebih daripada sebuah percaturan oleh pihak yang berkepentingan. Mereka ibarat bidak-bidak yang digerakkan di atas papan catur mengikut percaturan tangan-tangan yang berkepentingan.

Saya berasa sangat sedih dan kecewa dengan situasi yang melanda anak muda pada ketika ini. Di saat pohon-pohon tarbiyah sudah mula menguntumkan hasilnya, terdapat tangan-tangan zalim yang sudah tidak sabar memetiknya lalu akhirnya bunga itu mati kelayuan sebelum sempat umat menikmati kesan tarbiyah ini. Pemuda-pemudi yang bakal dilahirkan sebagai pendokong agama ini telah ramai yang tertipu dengan mainan politik di tanah air. Saya tidak bermaksud yang seorang pemuda atau pemudi itu tidak perlu terlibat dalam politik malahan saya katakan itu adalah sebagai tanda pedulinya mereka kepada keadaan umat. Namun, apa yang saya kecewakan ialah ketika mana pemuda-pemudi ini berjuang bukan kerana kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan mereka tetapi lebih kepada sentimen-sentimen yang ditabur oleh sesetengah pihak.

Belakangan ini, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa peristiwa yang melibatkan golongan pemuda khususnya siswa dan siswi tempatan. Sebagai contoh, peristiwa saudara Adam Adli yang menurunkan banting yang mempunyai gambar Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak kerana tuntutan mereka untuk kebebasan institusi pendidikan daripada politik tidak dilayan oleh pihak yang sepatutnya. Peristiwa terbaru yang berlaku ialah peristiwa berdarah pada malam tahun baru yang menyaksikan beberapa mahasiswa tercedera dalam perbalahan dengan pihak polis dan FRU. Menurut laporan, mereka berhimpun pada malam tersebut kerana ingin menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap pihak pentadbiran UPSI yang tidak bersikap professional dalam membincangkan permasalahan yang mereka perjuangkan di samping kes penggantungan saudara Adam Adli oleh pihak universiti.

Pertama sekali, saya ingin sampaikan ucapan takziah dan simpati saya kepada individu-individu yang telah tercedera dalam peristiwa tersebut. Saya juga tidak ingin membuat sebarang komen secara langsung terhadap peristiwa yang berlaku ini. Apa yang ingin saya utarakan di sini lebih bersifat muhasabah dan refleksi terhadap perkara yang telah berlaku. Seperti huraian yang telah saya nyatakan di awalnya, golongan muda adalah mereka yang mempunyai semangat yang luar biasa. Sesuatu idea ataupun keinginan mampu diterjemahkan kepada sebuah realiti bila ada penglibatan daripada golongan pemuda. Buktinya, lihat sahaja peristiwa-peristiwa yang saya nyatakan sebentar tadi. Semuanya itu didokong dan dijayakan oleh anak muda.

Secara jujurnya, saya merasakan sudah tiba masanya untuk semua anak muda terutama di tanah air kita untuk kembali bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya yang sedang kalian perjuangkan? Cuba tanya dengan sejujur-jujurnya dengan membuang sebarang prasangka dan semangat fanatik kepartian yang melampau. Isu, ideologi atau fahaman apakah yang sedang kalian perjuangkan? Adakah ianya sebuah perjuangan benar yang diqiaskan daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad saw ataupun hanya rekaan manusia-manusia yang menjadi tokoh di mata anda sedangkan perjuangan itu hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja? Sekiranya anda mampu bertanya dengan sejujur-jujurnya, pastilah anda akan menemukan matlamat perjuangan yang sebenar dan bukannya menjadi kuda tunggangan terhadap perjuangan orang lain.

Akhir sekali, anak muda perlu tentukan dengan jelas matlamat perjuangan yang ingin dipegang kerana itulah yang akan menentukan samada anda menjadi HERO ataupun ZERO ketika hayat anda di dunia ini. Wallahu’alam.

 

Leave a comment