Untuk muslimah ~ yang tak pernah lelah berdakwah

 

kesanggupan muslimah untuk menyertai program pembinaan diri menjadi bukti akan lahirnya muslimah dakwah dalam diri mereka. Gambar kenangan JUMS12'

kesanggupan muslimah untuk menyertai program pembinaan diri menjadi bukti akan lahirnya muslimah dakwah dalam diri mereka. Gambar kenangan JUMS12′


Dakwah Islam yang berjaya dari zaman ke zaman tidak dapat tidak, di belakangnya pasti ada sosok tubuh muslimah dakwah yang menjadi tiang seri kepada kuatnya perjalanan dakwah ini. Rasulullah saw ada Khadijah r.a yang tidak pernah lelah menguatkan dan memberi dorongan kepada Baginda saw dalam berdakwah. Begitulah besarnya peranan muslimah yang berada di atas jalan dakwah ini, meskipun ramai yang kurang merakamkan penghargaan mereka terhadap muslimah dakwah ini. Benarlah kata-kata yang berbunyi;

“Didiklah wanita, pasti anda akan mampu mendidik dunia ini”

Wajibkah muslimah berdakwah?

Allah swt berfirman dalam Al-Quran:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” (Ali-Imran : 110)

Perintah menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar ini Allah perintahkan secara sama rata, tidak mengira jantina, muslimin atau pun muslimah. Jadi, sudah menjadi kewajiban yang diperintahkan untuk muslimah juga turut terjun ke dalam medan dakwah ini sehingga mereka dapat kita panggil sebagai muslimah dakwah. Perintah dan larangan Allah di dalam Al-Quran tidak membezakan antara lelaki dan juga perempuan. Begitu juga soal ganjaran dan balasan, diberikan secara adil oleh yang Maha Adil. Bezanya  cuma terletak pada sifat manusiawi kita sahaja.

Kenapa perlu berdakwah?

Kita berdakwah dengan satu tujuan, iaitu mengajak manusia kepada beriman dan menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan taghut secara mutlak. Itulah satu-satunya tujuan para rasul diutus oleh Allah dari zaman ke zaman, dan kini amanah itu telah jatuh ke atas bahu kita sebagai seorang Islam setelah perginya Rasulullah saw yang kita cintai. Ada tiga bentuk dakwah yang dapat seorang muslimah itu lakukan dalam usahanya menyampaikan dakwah kepada manusia lain;

  1. Lisan : Baginda saw menyampaikan ajaran Islam kepada kaum keluarga, sahabat dan masyarakat di sekelilingnya dengan perantara lisan. Muslimah juga dapat menyampaikan pengajaran serta tazkirah kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan juga masyarakat di sekelilingnya. Mahu atau tidak seorang muslimah pasti akan bercakap dalam setiap harinya, jadi sangat besar manfaat sekiranya percakapannya itu diarahkan kepada menyampaikan kebaikan kepada orang yang mendengar.
  2. Tulisan : Kaedah ini juga turut digunakan oleh Baginda saw walaupun dalam keadaannya yang ummi. Sahabat yang pandai menulis akan diminta untuk menuliskan surat dakwah yang dikirimkan kepada raja dan pembesar yang belum memeluk Islam. Begitulah besarnya peranan tulisan dalam aktviti dakwah, sehinggakan baginda yang ummi itu juga menggunakan bentuk penulisan dalam dakwah baginda. Muslimah pada hari ini kebanyakannya begitu intelek, jadi peluang ini seharusnya memberikan ruang yang luas kepada mereka untuk menyampaikan dakwah ini kepada masyarakat. Daripada menconteng facebook dan blog dengan luahan emosi yang tiada manfaatnya, eloklah jika bakat penulisan itu dapat membantu dakwah ini.
  3. Perbuatan : Tidak dapat dinafikan, inilah bentuk dakwah yang paling berkesan. Ramai yang memeluk Islam kerana terkesannya dengan akhlak Rasulullah saw yang begitu sempurna sehingga mengesani hati orang yang berurusan dengannya, baik musuh ataupun kawan. Muslimah yang dapat menampilkan kehidupan yang syumul pasti dapat menambat hati objek dakwah. Pemakaian yang sopan, pertuturan yang baik, peramah, kebolehan mendengar dengan empathy, prihatin dan penyayang, semuanya itu menjadi modal yang besar dalam dakwah ini.

Firman Allah swt;

” Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125)

Kriteria muslimah dakwah?

Perintah untuk berdakwah adalah hukum taklifi iaitu perintah kewajiban yang perlu dilaksanakan oleh sesiapa yang mengaku sebagai seorang Islam. Jadi, setiap muslim bertanggungjawab menjalankan perintah untuk berdakwah ini. Untuk berdakwah, seseorang muslimah itu tidak perlu menunggu menjadi specialist dalam bidang syariah ataupun ahli fuqaha’. Bagaimana jua keadaan seseorang muslimah itu, pasti ada daripada dirinya itu yang dapat menjadi modal untuk dakwah ini.

Seperti yang kita bincangkan di atas, dakwah itu ada tiga bentuk iaitu lisan, tulisan dan perbuatan. Jadi, soal tidak cukup ilmu agama dan sebagainya tidak harus timbul di kalangan muslimah. Sebagai contoh, ada seorang muslimah yang pandai mendengar masalah orang lain. Dia sangat empathy dan prihatin kepada orang di sekelilingnya. Begitu mudah didekati dan sangat disenangi akhlaknya. Akhirnya, ramai orang tertarik untuk mendekatinya dan bergabung dengan dakwah yang disampaikannya.

Contoh yang tidak terbanding pastilah Saidatina Khadijah r.a yang menjadi tulang belakang kekuatan Rasulullah saw saat menyampaikan dakwah baginda di jazirah Arab. Kepercayaan, pengorbanan, dan motivasi yang ditunjukkan Khadijah r.a membuatkan Rasulullah saw sentiasa mencintai dirinya, walaupun setelah ketiadaannya. Baginda menamakan tahun pemergian isterinya itu sebagai tahun kesedihan kerana besarnya cinta baginda kepada Khadijah r.a. Setelah ketiadaannya, baginda sentiasa menjaga hubungan baik dengan sesiapa yang pernah menjadi sahabat Khadijah semasa hayatnya sehinggakan pada suatu hari baginda menyembelih kambing lalu berkata; “Berikanlah daging ini kepada orang-orang yang dicintai Khadijah.”

Wahai muslimah, tidak mahukah kalian mencuba untuk menjadi Khadijah di alaf baru ini?

Ujian dalam dakwah?

Jalan ini tidak pernah sunyi dari ujian. Dari masa ke masa ujian akan berubah seiring dengan peningkatan kita dalam dakwah. Apa yang penting ialah keyakinan bahawa Allah tidak akan membebani kita lebih daripada kesanggupan/kemampuan kita. Ujian juga adalah tanda bahawa kita sedang berada dalam pandangan khusus daripada Allah. Perhatian yang lebih sedang diberikan kepada kita saat kita diuji itu. Contoh yang paling mudah mungkin dapat difahami melalui analogi di bawah;

“Ada dua orang sahabat yang bekerja sebagai buruh binaan menyiapkan bangunan 10 tingkat. Seorang kerjanya menyiapkan bahagian bumbung di tingkat 10 manakala seorang lagi menyiapkan lantai di tingkat satu. Lalu sahabat yang berada di tingkat 10 ingin menyampaikan pesan kepada sahabatnya yang di bawah itu, namun jeritannya tidak didengari oleh sahabatnya itu. Lalu, dia pun membaling sekeping syiling 50 sen kepada sahabatnya. Dikutip duit itu namun sahabatnya tidak juga mendongak. Sudah banyak duit syiling yang dibaling, sahabatnya tetap tidak mendongak. Akhirnya dia mendapat idea. Dilemparkan batu kecil ke atas kepala sahabatnya itu. Barulah akhirnya sahabat itu mendongak ke atas, lalu dapatlah pesanan itu disampaikan.

Begitulah kehidupan…Kadangkala kita lupa kepada Allah tatkala mendapat nikmat dan kesenangan, lalu sesekali Allah beri ujian kepada kita supaya kita “mendongak” semula kepadanya. Ada “pesanan” yang ingin disampaikan kepada kita.”

Muslimah seimbang?

Ada 3 perkara yang penting untuk diberi perhatian khusus oleh muslimah sekalian.

  1. Ruhiyah: Sejauh mana kedekatan kita dengan Allah, sejauh itu jugalah pesanan kita akan meresap masuk ke dalam hati-hati objek dakwah kita. Pesanan daripada seorang muslimah yang menjaga aspek ruhiyahnya samalah seperti air sejuk yang melegakan tekak pada hari yang sangat panas.
  2. Fikiran: Ada tiga jenis ilmu yang perlu dikuasai oleh muslimah dakwah. Yang pertama ialah ilmu keagamaan walaupun tidak perlu kepada menjadi specialist dalam bidang syariah atau ahli fuqaha’. Kedua ialah ‘general knowledge’ tentang perkembangan semasa dan perkara yang berlaku di sekitarnya agar tidak menjadi ketinggalan zaman. Yang ketiga ialah ilmu berkaitan dengan bidang yang dikuasainya. Sebagai contoh, muslimah yang bergelar doktor perlulah mampu menjadi rujukan muslimah lain dalam bidang kepakarannya itu. Kunci utama ialah membaca.
  3. Fizikal: Dakwah yang berat ini memerlukan muslimah yang kuat ketahanan fizikalnya, tanpa menafikan sifat-sifat feminin seorang muslimah. Kuat di sini bererti sihat tubuh badan dan mengambil berat soal menjaga kesihatan diri daripada penyakit-penyakit yang berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat. Minima, seorang muslimah itu perlu pastikan dirinya bersenam 15-20 minit sehari, tiga kali seminggu, membuat pemeriksaan kesihatan setahun sekali, menjaga pemakanan dan kebersihan diri.

Dakwah yang sukses?

Kejayaan seseorang muslimah dalam jalan dakwah ini dapat diukur melalui 3 indikator utama iaitu;

  1. Akhlak : Berubahnya akhlak yang ada pada dirinya daripada jahiliyah kepada akhlak islami.
  2. Kepimpinan: Wujudnya sifat kepimpinan dalam dirinya, iaitu kebolehan memimpin diri sendiri, anak-anak, sahabat dan masyarakat di sekitarnya.
  3. Kemampuan merekrut : Kemampuan merekrut adalah indikator paling tinggi kejayaan seorang muslimah itu dalam jalan dakwah ini. Mereka mampu menjadi agen yang menyeru dan membawa orang lain untuk turut bergabung dengan jemaah dakwah ini lantas menerima kebaikan-kebaikan daripada dakwah ini.

Tidak dapat tidak, muslimah adalah tonggak yang sangat penting dalam keberlangsungan dakwah ini. Sejarah telah mencetak mujahidah-mujahidah yang tak terhitung bilangannya dan dakwah ini pasti akan mencetak lebih ramai muslimah dakwah di masa kini. Tidak kiralah siapa pun anda, di mana anda mengenal dakwah, pada usia berapa anda mengenal dakwah, bujang atau sudah berkeluarga, setiap daripada kalian punya potensi untuk menjadi muslimah dakwah. Soalnya, mahu atau tidak?

Bekal Dakwah

Teman hidup yang solehah juga adalah bekal dakwah yang mahal

Teman hidup yang solehah juga adalah bekal dakwah yang mahal

Dalam menjalani kehidupan di atas jalan dakwah ini, sudah pastinya kita memerlukan bekalan yang mencukupi agar dapat memastikan kita sampai kepada matlamat dan destinasi yang ditujui. Jalan dakwah ini akan menemukan kita dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, gangguan, kesusahan dan pelbagai cubaan yang mampu melemahkan semangat kita. Justeru, bekalan yang harus kita bawa juga haruslah banyak kerana kita sangat memerlukannya sepanjangan perjalanan ini.

Sebaik-baik bekalan untuk kita sudah pastilah keimanan dan ketaqwaan yang sebenarnya kepada Allah swt. Tanpanya, kita tidak akan menemukan cahaya dan panduan untuk meneruskan langkah di atas jalan ini. Tanpanya juga, kita pasti akan terkandas di pertengahan jalan dan tidak mampu bergerak lagi ke hadapan. Analogi yang mudah ialah seperti kereta dan juga minyak petrol. Sebuah kereta, sehebat mana pun buatannya pasti tidak akan dapat bergerak lagi apabila kehabisan petrol. Jadilah ianya sebuah besi buruk yang tiada nilai. Begitulah perlunya kita kepada bekalan keimanan dan ketaqwaan dalam meneruskan perjalanan sebagai seorang da’ie.

Sebaik-baik sumber bekalan untuk kita sudah semestinya Al-Quran yang mulia. Ia ibarat sebuah mata air yang tidak pernah kering buat kita yang sentiasa dahagakan hidayah dan petunjuk Allah swt. Lihatlah bagaimana Al-Quran telah berjaya merubah keadaan sahabat Rasulullah saw daripada Jahiliyah menuju kepada sebaik-baik generasi yang pernah dilahirkan. Daripada acuan Al-Quran, lahirnya figur-figur yang hebat dari segi akhlaknya, akidahnya, ibadahnya, dan segala aspek kehidupannya yang berlandaskan suruhan Allah swt. Jadi, tidak mustahil teladan yang baik itu dapat berulang kembali pada generasi kita sekiranya kita benar-benar mengambil pengajaran daripada Al-Quran. Marilah kita baiki hubungan kita dengan Al-Quran. Rasakan lah segala perintah dan larangan di dalamnya itu ditujukan khas kepada kita dan berusahalah dengan sesungguhnya untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan kita.

Seterusnya, sumber bekalan yang sangat penting juga ialah dengan kita merenung kembali segala ciptaan Allah swt. Lihatlah pada kejadian tumbuhan, haiwan, alam semesta ini dan juga kejadian diri kita sendiri. Diciptakan tumbuhan itu beraneka jenis, rasa, warna, ketinggian, keperluan hidup dan aturan hidupnya. Begitu juga dengan kejadian haiwan-haiwan yang mempunyai aturan hidup yang berbeza-beza. Siapakah lagi selain Allah swt yang mampu menjadikan dan mentadbir semuanya ini? Di situ, kita pasti akan tersedar akan keagungan kekuasaan Allah swt dan daripada perasaan itu akan lahirlah keinsafan yang sebenarnya dalam diri kita betapa Allah swt itu sangat berkuasa ke atas segalanya. Keinsafan inilah yang akan menjadi bekalan kepada kita dalam meneruskan perjalanan yang panjang ini. Kita merasakan bahawa kesusahan yang dihadapi itu tidaklah setara mana jika dibandingkan dengan kekuasaan dan rahmat Allah swt yang dapat kita harapkan.

Ketiga, marilah kita renungkan segala nikmat yang diberikan kepada kita. Apakah nikmat yang paling besar selain Islam dan Iman? Dengannya kehidupan kita menjadi tenteram dan sentiasa terpandu untuk melakukan kebaikan serta mengatur kehidupan dengan sebaiknya. Kita sering melupakan nikmat yang terbesar ini kerana kebanyakan kita tidak bersusah-payah untuk mendapatkan Islam. Kita sudah dilahirkan sebagai seorang Islam, jadi kita tidak benar-benar menghargainya. Cuba kita bayangkan pada saat ini kita ditakdirkan menjadi seorang non-muslim. Apakah yang akan terjadi kepada diri kita? Cubalah kita bayangkan ini…Sudah pasti ianya dapat menimbulkan kesedaran kepada kita untuk menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat yang begitu besar ini. Dari itu, akan lahirlah semangat dan kekuatan yang luar biasa dalam diri kita untuk menjalankan perintah Allah swt dengan sebenar-benarnya.

Renungkan juga nikmat kesihatan tubuh badan, pancaindera yang sempurna dan pelbagai lagi nikmat yang kita terima sejak membuka mata sehinggalah kita tidur. Cuba bayangkan sekiranya salah satu daripada nikmat ini ditarik daripada kita. Tiba-tiba kita sudah tidak dapat melihat saat bangun tidur pagi esok. Ataupun kedua-dua tangan dan kaki sudah tidak dapat bergerak saat kita membuka mata pada suatu pagi…Cuba bayangkan apa perasaan kita saat itu? Mesti kita akan merasakan betapa dunia ini menjadi begitu sempit untuk kita. Segalanya menjadi sukar untuk dilakukan kerana nikmat itu ditarik daripada kita. Oleh itu, selagi mana masih diberikan pinjaman nikmat yang berharga ini, marilah kita jadikan ianya sesuatu yang akan menguntungkan kita di akhirat nanti.

Perkara yang keempat yang kita perlu renungkan ialah perkara-perkara ghaib yang pasti akan berlaku dalam hidup kita. Fikirkan tentang usia kita yang masih berbaki, saat kematian kita, alam kubur, dan apakah nasib kita saat malaikat Izrail datang menjemput nanti. Adakah kita ini manusia yang untung ataupun rugi buat selamanya?

Kita tidak tahu bilakah saatnya kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Barangkali waktunya sudah begitu hampir, namun kita masih lagi bermain-main dalam ketaatan kita dan masih lagi bergelumang dengan dosa-dosa. Apakah kerana kita sering terlupa daripada mengingati saat kematian kita nanti? Ataupun kita sering memujuk diri dengan berkata, “esok masih ada untuk bertaubat”. Kita memujuk diri untuk mengatakan bahawa kita akan hidup lagi pada keesokannya. Alangkah tertipunya diri kita dengan andaian yang sedemikian. Janganlah nanti saat datangnya Izrail, kita menjerit meminta ditangguhkan sesaat dua lagi untuk bertaubat. Waktu itu, taubat sudah tidak diterima lagi, sama seperti taubatnya Firaun saat tenggelam di laut merah.

Akhir sekali, renungkanlah juga akan hari akhirat nanti. Bagaimana saat di padang Mahsyar ketika hati begitu kecut ketakutan menantikan buku amalan. Adakah diberikan kepada tangan kanan atau kiri? Bayangkan pula saat meniti titian sirat yang penuh dengan ketakutan yang tidak tergambar. Di sekelilingnya penuh dengan jerat, duri dan perangkap yang sentiasa menangkap dan menghumban mereka yang layak dimasukkan ke dalam neraka. Bagaimanakah nasib kita saat melintasi titian itu nanti? Tidak takutkah kita akan neraka yang menanti di bawahnya? Atau duri-duri yang bila-bila masa sahaja akan singgah di badan kita lalu mencampak kita ke dalam neraka? Menggambarkannya sahaja sudah cukup untuk menggentarkan hati dengan hebatnya. Adakah kita akan bahagia atau celaka?

Bayangkan pula syurga dan neraka. Kedua-duanya kekal. Sekali masuk, selamanya kita di sana. Tidak ada jalan untuk kita pulang ke dunia untuk mengubah sesuatu yang sudah terjadi. Tidak kah kita membaca Al-Quran? Betapa banyak kisah-kisah yang Allah gambarkan manusia yang berdoa untuk dikembalikan ke dunia walau sesaat untuk meraka menjadi manusia beriman. Kerana orang beriman itu tempatnya di syurga. Kita sudah ditakdirkan untuk menjadi orang yang beriman, apakah kita masih tegar untuk kufur akan nikmat itu? Rugi lah kita jika memilih jalan itu.

Jalan hidup ini hanya satu hala. Kita semuanya menuju ke hari kematian kita. Saat, minit dan jamnya sudah ditetapkan, waktu kita berbeza, yang sama hanyalah kepastiannya. Mati itu pasti bagi yang bernyawa. Jadi, marilah kita berdoa dan berusaha untuk menjadi hamba yang taat akan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Tinggalkan dosa-dosa biar sekecil manapun dosa itu. Kerana sudah pastilah kita tidak rela ruh ini meninggalkan jasad saat diri penuh dosa. Tidak rela menghadapi penyesalan yang tiada tara dahsyatnya.

Seorang pemuda pernah bertanya kepada seorang Ulama’. Boleh kah dia berbuat dosa? Ulama itu menjawab;

“Ada lima syarat sekiranya engkau ingin berbuat dosa. Yang pertama, jika ingin berbuat dosa, maka jangan tinggal di kerajaan Allah. Yang kedua, jangan makan rezeki pemberian Allah. Yang ketiga, buatlah dosa di tempat yang Allah tidak dapat melihatnya. Yang keempat, saat malaikat maut datang menjemput, katakanlah kepadanya supaya menangguhkan kematian mu agar kau sempat bertaubat. Yang terakhir sekali, saat digiring oleh malaikat untuk dimasukkan ke dalam neraka, tahanlah, lawanlah malaikat itu agar engkau tidak dimasukkan ke dalam neraka. Jika lima syarat ini engkau dapat penuhi, maka buat lah dosa.”

Mendengar jawapan ini, bergetarlah hati pemuda itu dan bermula pada saat itu juga dia bertaubat dengan sebenarnya daripada segala dosa yang pernah dilakukan. Begitulah juga kita ini, kita tidak pernah sunyi daripada kesalahan dan dosa. Allah tidak pernah hairan akan hambanya yang melakukan dosa, namun Allah hairan apabila hamba yang berdosa itu tidak memohon ampun atas dosanya. Bertaubatlah walau berkali-kali kita memungkirinya. Allah tidak pernah bosan menerima taubat kita walaupun sudah sekian kalinya kita tetap mengulangi dosa yang sama atas kekurangan diri kita. Jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Setinggi manapun himpunan dosa kita, keampunan Allah itu jauh lebih luas.

Akhir kalam, banyak lagi bekal-bekal yang dapat kita cari untuk dijadikan teman dalam menjalani kehidupan ini. Usah jadikan hidup sunyi dari mencari ilmu dan hikmah. Banyakkan lah membaca kerana ianya menambahkan ilmu, yang dengan ilmu itu dapat mendekatkan kita kepada Allah. Tuntut lah ilmu di majlis-majlis ilmu di sebarang kesempatan yang ada. Jadikan diri kita sentiasa dinamik, bergerak dari satu hari ke hari seterusnya dengan keadaan yang lebih baik. Istiqamahkan amalan yang sedang dilakukan, tambah amalan baru, dan tinggalkan dosa dan perbuatan yang sia-sia. Akhirnya, kita pohon agar Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita. Wallahu alam…

Ibadah yang sahih

Perkara kedua yang penting setelah memiliki akidah yang sejahtera ialah ibadah yang sahih. Ibadah memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seseorang muslim itu kerana ia sangat mempengaruhi pembinaan jiwa kehambaan dan akhlak seseorang itu. Kualiti ibadah sangat mempengaruhi kedudukan iman seseorang itu, di mana apabila kurangnya amalan maka itu tandanya iman sedang berkurang.

Apabila Allah swt menciptakan manusia, Dia telah menjadikan fitrah sunnatullah dalam diri manusia untuk hidup berTuhan. Fitrah ini menjadikan kita sentiasa ingin mencari sesuatu untuk disembah. Apabila bercakap tentang sunnatullah, ia adalah peraturan Allah swt yang berlaku di dunia ini. Contohnya, apabila kita makan kita akan kenyang, apabila kita tuang air dari cawan, maka air itu akan tumpah. Begitulah hati manusia yang sentiasa inginkan kepada penyembahan dalam hidupnya. Sehingga apabila tidak bertemu dengan Allah swt, ada di kalangan manusia yang menyembah bulan, matahari, pokok, berhala, wang ringgit dan berbagai-bagai lagi. Jadi, apakah penyembahan yang sebenar, dan apakah ibadah yang sahih itu?

Apakah ibadah?

Ibadah adalah kepatuhan, kataatan, kesetiaan, ketundukan, penyembahan dan penghambaan kita kepada Allah swt. Ibadah itu apabila kita mengikat diri kita dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan Allah swt yang diserukan oleh Rasulullah saw, samada  berbentuk suruhan ataupun larangan. Memahami ibadah bererti kita sedang memahami tujuan kita diciptakan iaitu beribadah kepada Allah swt seperti firman-Nya dalam surah Az-Zariyat;

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)

Apakah rukun ibadah?

Sesuatu ibadah itu haruslah memenuhi dua rukun  iaitu niat yang ikhlas dan al-ittiba’ (mengikut sunnah Rasulullah saw). Apabila bercakap tentang niat yang ikhlas, Allah swt telah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Al-Quran;

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Tuhannya” (Al-Kahfi: 10)

Ikhlas dalam beribadah bermaksud melakukan sesuatu amalan itu hanya semata-mata mencari keredhaan Allah swt. Dia tidak mengharapkan apa-apa ganjaran lain yang mungkin diperolehinya melalui ibadah itu. Sebagai contoh, seseorang yang melakukan haji kerana mengharapkan kedudukan dirinya dalam masyarakat akan menjadi lebih baik adalah tidak ikhlas kepada Allah swt. Dia mengharapkan agar status “Haji” itu akan menjadikan dirinya dipandang mulia oleh orang lain.

Orang-orang yang ikhlas memiliki beberapa tandanya. Sebagai contoh, mereka sangat takutkan sanjungan dan kemahsyuran daripada amalan yang mereka lakukan itu. Mereka takut sekiranya kemahsyuran yang diberikan itu akan menjadikan niat mereka tidak ikhlas dalam beribadah kepada Allah swt. Suatu hari, Khalifah Umar Ibn Khattab ra. telah berjumpa dengan Muaz Bin Jabal yang sedang menangis di makam Rasulullah saw. Beliau kemudiannya bertanya kepada Muaz, “Apakah yang membuatkan engkau sedih wahai Muaz?” Lalu, dijawabnya; ” Aku teringat sabda Rasulullah saw”;

“Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka tidak dipanggil dan tidak dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”

Begitulah kisah seorang sahabat yang begitu takut dan risau dengan sabdaan Baginda Rasulullah saw berkenaan dengan riya’. Dalam melakukan sesuatu amalan, sekiranya kita tidak ikhlas maka berkemungkinan besar kita sedang melakukan riya’ dalam amalan kita itu. Jadi, marilah kita memperbaharui niat kita dalam setiap amalan kita. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada menjadi orang-orang yang tidak ikhlas dalam beribadah.

Rukun kedua ialah mengikuti sunnah yang diajarkan baginda Rasulullah saw. Setiap amalan yang dilakukan, tidak kira seikhlas manapun niat seseorang itu, tidak akan diterima amalan itu sekiranya dia tidak mengikuti sunnah Rasulullah saw. Sebagai contoh, seseorang yang ingin melakukan solat Zohor, dia melakukan solat Zohor sebanyak 5 rakaat. Walaupun niatnya ikhlas, amalan itu tidak diterima oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw;

Barangsiapa yang melakukan satu amalan (ibadah) yang tiada dasarnya dari kami, maka ia tertolak.”

Resolusi kita?

Setelah mengetahui dua rukun ibadah ini, marilah kita sama-sama memberi perhatian yang bersungguh-sungguh kepada amalan harian kita. Beri perhatian kepada kualiti solat yang kita lakukan. Tunaikan solat pada awal waktu, berjemaah di masjid, lakukan wudhuk dengan sempurna, pastikan pakaian yang bersih dan sesuai. Jadilah orang bersemangat dan sentiasa memberi perhatian penuh kepada solat kerana ia adalah tiang agama. Begitulah juga dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca Al-Quran, puasa, sedekah dan lain-lain.

Jaga hubungan kita dengan Allah swt, insyaallah hubungan kita dengan manusia juga akan terjaga. Semoga ibadah yang sahih akan mendatangkan kebaikan kepada diri kita dan melahirkan jiwa kehambaan yang sebenarnya.

 

Resolusi tahun 2013!

Bersama teman seperjuangan di Carlton Hill, Edinburgh pada penghujung 2012. Apa agaknya impian masing-masing pada 2013?

Assalamualaikum wbt…

Alhamdulillah, segala kesyukuran kita panjatkan kepada Allah swt yang telah mengizinkan kita melangkah ke tahun baru 2013. Mudah-mudahan segala kesilapan kita pada tahun lalu diampunkan Allah swt, dan segala amal kebajikan yang kita lakukan diterima sebagai amal baik di sisi-Nya. Kita juga berdoa  agar dapat menjalani tahun baru ini dalam keadaan yang sentiasa dipandu hidayah daripada-Nya.

Apabila melangkah sahaja ke tahun baru, pasti setiap daripada kita sudah menanam azam yang ingin dicapai pada tahun ini. Alhamdulillah, tahun 2012 baru sahaja berlalu dan mudah-mudahan segala azam dan cita-cita yang ingin kita capai pada tahun lalu menjadi kenyataan. Sekiranya masih belum dicapai, moga-moga tahun ini kita akan berjaya melakukannya. Begitu juga kepada mereka yang masih belum mencatat azam baru untuk tahun ini, mari bersama-sama lakukannya supaya tahun ini akan menjadi lebih produktif dan bermakna!

Setelah mencatat segala perkara dan impian yang ingin kita capai pada tahun ini, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah resolusi kita untuk mencapai semua ini? Apakah yang perlu diubah dalam diri kita? Apakah yang perlu ditambah dan apa pula yang perlu kita tinggalkan? Semua ini penting dalam kita memastikan segala cita-cita kita itu tidak hanya tinggal sebagai catatan yang akan kita kesali saat tahun 2013 melabuhkan tirainya nanti.

Baik, mari lihat beberapa perkara yang praktikal untuk kita lakukan di awal tahun baru ini;

1) MEMBUAT PERANCANGAN

Perkara paling penting untuk memulakan tahun 2013 ini ialah dengan membuat perancangan kehidupan kita sepanjang 2013 ini. Catat semua perkara yang ingin kita capai pada tahun ini dan buat perancangan yang tersusun untuk membantu kita melaksanakannya. Tulis semua impian kita pada sehelai kertas dan lekatkannya pada dinding bilik tidur agar ianya dapat menjadi “constant reminder” kepada kita. Pecahkan plan tindakan mengikut bulan dan kemudiannya hari. Sekiranya kita mampu menjadikan plan tindakan kita mengikut hari, insyaallah kita sudah sangat hampir untuk mencapai semua yang kita inginkan. Ingat sebuah pepatah Inggeris yang menyebut “If you fail to plan, you are planning to fail”.

2) TINGKATKAN PRODUKTIVITI HARIAN

Perkara kedua yang saya rasa amat penting untuk kita lakukan ialah dengan meningkatkan produktiviti harian kita. Kita perlu pastikan semua atau sebahagian besar perkara yang kita lakukan dalam seharian itu dapat membuahkan hasil yang baik. Ini boleh membawa maksud meningkatkan skill, menambah ilmu, menyiapkan tugasan, menambah kenalan, mengeratkan hubungan, meningkatkan iman dan sebagainya. Satu tip yang paling penting untuk menjadi lebih produktif ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Contoh yang dapat difikirkan termasuklah bermain game di komputer, membaca Manga, mengikuti drama Korea/Melayu/Bollywood, membaca 9gag, menonton youtube dengan lama, berfacebook terlalu lama, tidur berlebihan dan lain-lain lagi.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Sabda Rasulullah saw; “Di antara kebaikan seorang muslim itu ialah dia meninggalkan apa-apa yang tidak berfaedah baginya.” (Hadis Hasan, riwayat Tarmizi dan lain-lainnya).

3) TINGKATKAN KUALITI HUBUNGAN DENGAN ALLAH SWT

Perkara pertama dan kedua yang dicadangkan di atas tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna sekiranya kita tidak menjaga hubungan dengan Allah swt. Sebagai manusia, segala usaha, ilmu dan kemampuan kita sangat terbatas, bahkan kita tidak mampu menguruskan kehidupan sendiri melainkan dengan izin daripada Allah swt. Segala yang berada di bumi dan langit semuanya dicipta oleh Allah swt dan Dia lah yang mampu menentukan segala-galanya yang terjadi di dunia ini. Jadi, tingkatkan lah kualiti hubungan kita dengan Sang Pencipta kerana ianya merupakan bekal yang paling baik dalam kita melayari tahun 2013 ini. Apabila hubungan kita dengan Allah swt terjaga, kita akan dapati diri kita sentiasa bermotivasi dalam setiap urusan kita.

Berikut adalah antara perkara yang dapat kita usahakan untuk dilakukan secara istiqamah untuk menjaga hubungan dengan Allah swt:

  1. Menjaga solat 5 waktu (berjemaah bagi lelaki).
  2. Membaca Al-Quran dan maknanya setiap hari.
  3. Berpuasa sunat pada hari Isnin/Khamis.
  4. Qiamullail mengikut kemampuan masing-masing.
  5. Bersedekah kepada yang memerlukan.
  6. Meninggalkan perkara maksiat.

4) FOKUS

Segalanya mungkin apabila kita fokus dalam setiap tindakan kita. Fokus memiliki kehebatan yang luar biasa sehinggakan perkara yang kelihatan sukar dilakukan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sifat ini perlu ada dalam diri setiap daripada kita dan ianya dapat dilatih dan disemai dalam diri. Apa yang penting ialah apabila kita melakukan sesuatu perkara, lakukannya dengan sehabis baik dan bersungguh-sungguh. Allah swt juga suka kepada hamba-Nya yang apabila dia berusaha, dia lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kebiasaannya, apabila kita fokus, sesuatu perkara yang ingin kita capai itu akan berjaya dicapai lebih cepat berbanding dengan apa yang kita sangkakan.

“Cahaya matahari yang difokuskan oleh sebuah kanta mampu menghasilkan tenaga yang luar biasa sehingga mampu menyalakan api” 

Akhir sekali, selamat menjalani tahun 2013 dengan semangat yang tinggi. Semoga tahun ini menjanjikan kecemerlangan dan kebahagiaan buat kita. Insyaallah, niat yang baik dan disertai usaha yang gigih dan berterusan akan membantu kita mencapai segala cita-cita yang diimpikan pada tahun ini. Setiap orang akan disibukkan dengan urusan masing-masing, jadi kita tidak ada orang lain untuk menentukan bagaimana kita akan menghadapi tahun ini. Jadi, bulatkan tekad dan bertawakkal lah kepada Allah swt. Sesungguhnya ada kejayaan yang menanti pada 31 December 2013 nanti, insyaallah…

Mabruk!

semoga diberikan sakeenah, mawaddah wa rahmah

Assalamualaikum wbt….

Post kali ini dititipkan khas buat seorang sahabat akrabku yang baru sahaja melangsungkan pernikahannya dengan wanita solehah pilihan hatinya. Begitu pantas masa berlalu… Sahabat sekampung yang membesar bersamaku ini sudahpun menemukan jodohnya pada usia 23 tahun, beberapa bulan selepas pernikahanku.

Aku, Faizal, Syazwan dan Hanif. Empat orang kami sudah bersahabat sejak dari bangku sekolah lagi. Walaupun masing-masing menemukan jalan hidup yang berbeza setelah tamat sekolah rendah, kami tidak pernah gagal untuk bertemu setiap kali tibanya Ramadhan dan Syawal setiap tahun. Masing-masing memungut sejuta pengalaman dan pengajaran dari kehidupan sendiri untuk dikongsikan bersama saat berkumpulnya kami pada 1 Syawal setiap tahun.

Banyak sebenarnya pengalaman yang aku lalui bersama manusia-manusia hebat ini. Banyak juga nasihat kehidupan yang aku pelajari untuk dibuat bekal merantau di kejauhan ini. Semoga segala ilmu dan nasihat mereka tidak pernah serik untuk membasahi hatiku dan memberi semangat untuk meneruskan perjuanganku di sini.

Post kali ini aku titipkan khas dari kejauhan buat sahabatku yang bernama Syazwan Afandi atau lebih mesra dengan panggilan Shawn. Beberapa keping gambar pernikahannya yang kulihat melalui laman facebook sudah cukup membuat diri berasa sebak kerana tidak dapat hadir pada hari yang paling bermakna dalam hidupnya.

Dengan perasaan itu jugalah jari-jariku terpanggil untuk mengarang semula setelah sekian lama membiarkan blog ini sepi dari sebarang tulisan. Semoga sedikit coretan ini dapat menjadi bukti tidak terbantah betapa aku sentiasa mengingati sahabatku ini walaupun dari kejauhan. Mengingati dirinya atas segala kebaikan dan bakti yang pernah diberikan kepada diriku sepanjang aku mengenalinya.

Tulisan kali ini bukanlah bertujuan untuk memuji atau membesar-besarkan sahabatku ini, tetapi ianya lebih kepada sebuah penghargaan atas segala kebaikan yang pernah diberikannya dalam hidup ini. Sepanjang aku mengenalinya, dia telah mengajarkan kepadaku secara langsung, secara praktikal bagaimana untuk memberi dengan sebanyak-banyaknya dalam hidup dan bukan untuk menerima dengan sebanyak-banyaknya. Dia bukanlah orang boleh bercakap apa itu erti hidup pada memberi, tetapi dia adalah orang yang telah melakukannya dalam kehidupan sehariannya. Masa, tenaga, wang ringgit dan apa sahaja. Dia tidak pernah lokek jika yang meminta itu benar-benar memerlukan bantuannya. Kadang-kadang aku sendiri berasa segan dengan kebaikannya.

Buat pasangannya iaitu Norfadilah Ishak, tahniah kerana telah mendapat seorang suami yang insyaallah soleh! Mudah-mudahan segala kebaikan dan kelebihannya dapat memberikan manfaat kepada anda, dan mudah-mudahan tidak ada dari kekurangan pada dirinya yang akan memberikan mudarat kepada anda. Begitu juga, mudah-mudahan kebaikan dan kelebihan yang ada pada anda akan dapat memberikan manfaat kepadanya dan tidak ada dari kelemahan anda yang memberi mudarat pada dirinya.

Kepada kedua-duanya, selamat menempuh alam perkahwinan yang penuh keberkatan. Selamat menjalankan sunnah Rasululullah saw yang kita kasihi. Sesungguhnya baginda sangat suka apabila dua anak adam mendirikan rumah tangga. Semoga hari-hari mendatang akan menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan buat kalian berdua. Sesungguhnya keluarga yang kalian bina adalah binaan-binaan yang akan membangunkan semula masyarakat Islam di zaman yang penuh cabaran ini.

Akhir kalam, inilah doa yang disunnahkan oleh baginda Rasulullah saw untuk pasangan yang berkahwin;

“Barakallahu lakuma wa baraka alaikuma wa jamaa bainakuma fi khair”

Ikhlas dari,

Firdaus @ Doih

Apabila janji itu kutemui…

Kehidupan kita ni sebenarnya ibarat perjalanan hidup sebatang pohon. Seperti mana kita dapat melihat setiap perubahan yang berlaku pada pohon tersebut, seperti itu jugalah kita menyedari setiap perubahan yang berlaku dalam diri kita.

Kita melihat sebatang pohon itu bermula dengan menumbuhkan tunas lalu menjadi anak pokok yang begitu kecil. Kemudian, kita melihat pohon itu tadi menumbuhkan beberapa helai daun muda. Setelah beberapa lama, maka membesarlah ia dengan memiliki dahan dan ranting yang kuat serta dedaunan yang lebat. Masa kemudian akan terus berlalu dan kini kita melihat sekiranya pohon itu sudahpun tua dan beberapa helaian daun mula keguguran. Semakin hari semakin banyak daun-daun yang jatuh menyembah bumi dan akhirnya tibalah masanya untuk pohon itu menepati janji Tuhannya iaitu setiap yang hidup pasti akan merasai mati.

Begitu kerap kita melihat Allah swt menggunakan perumpaan tukang kebun dan hasil tanamannya sebagai pelajaran untuk kita di dalam Al-Quran. Sebagai contoh, Allah swt berfirman yang bermaksud;

“Maka ketika mereka melihat kebun itu, mereka berkata, “Sungguh, kita ini benar-benar orang yang sesat, Bahkan kita tidak memperoleh apa pun” (Al-Qalam:26-27)

Wahai kawan…mengaku atau tidak, kita sebenarnya menyedari setiap perubahan yang telah terjadi kepada diri kita. Kita sedar sekiranya kita saban hari semakin meningkat usia dan semakin jauh meninggalkan zaman kanak-kanak kita. Jika suatu ketika dahulu, ketika kita masih kecil, pernah kita tertanya-tanya bilakah saatnya kita akan merasai kehidupan seorang remaja, maka ketahuilah bahawa kita sedang melaluinya hari ini.

Kita menyedari semua itu! Mengaku atau tidak, itulah hakikat kehidupan kita. Kita mulakan kehidupan di dunia ini semenjak hari pertama kita dilahirkan dari perut ibu kita. Kemudian, kita melalui kehidupan ini sebagai seorang kanak-kanak dengan penuh keceriaan dan hati yang tidak dicemari dengan dosa.

Masa terus berlalu dan kita semakin meningkat dewasa. Banyak perkara baru yang telah kita lalui dan semuanya itu telah menjadi warna-warna yang melukiskan kehidupan kita di atas kanvas putih yang kita miliki. Saat-saat berharga sebagai remaja kini semakin tiba ke penghujungnya apabila usia kita kian meningkat.

Lalu, akan tibalah masanya kita melalui hari-hari tua dengan penuh kesabaran. Menunggu tibanya janji Tuhan untuk kembali bertemu denganNya. Dan akhirnya tibalah ketentuan yang paling pasti itu dan kita pun akan meninggalkan dunia ini dan segala yang ada padanya buat selama-lamanya.

Wahai kawan…setujukah kalian jika aku katakan kita semua sedang melalui kitaran ini? Setujukan kalian jika aku katakan yang kita sedar akan perubahan yang kita alami seban hari?

Lalu apa lagi yang engkau tungguh wahai kawan? Kerana hidup ini hanya menuju ke satu arah. Kita tidak akan dapat menemukan jalan untuk berpatah balik ke belakang untuk mengubah apa yang telah kita lakukan dahulu.

Kita hanya punya hari ini dan insyaallah esok untuk kita betulkan kembali semua kesilapan kita yang lalu.

Jika bukan hari ini, bila lagi kawan?
Jika bukan kita sendiri, siapa lagi kawan?

“Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan beertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi.” (Ghafir: 55)

Alam ini Allah jadikan untuk kita, jadi pelajarilah sebanyak yang engkau mampu darinya.

Ole-ole dari Istanbul (versi Ramadhan)

Aku ingin hadiahkan sebuah ole-ole dari Istanbul untuk kalian. Ianya adalah sebuah kisah yang telah membangunkan keimanan dalam benak hatiku di kota itu. Aku harap ianya mampu melakukan hal yang sama untuk kalian.

Tersebut sebuah kisah tentang seorang pemuda. Dia sangat mencintai seorang gadis di desanya. Setiap malam dia akan memanjat tangga untuk mampir ke kamar gadis itu demi mengikut telunjuk nafsunya. Dia leka dan tidak sedar akan dosa-dosa yang dilakukannya selama ini sehinggalah tiba pada suatu malam.

Malam itu dia memanjat lagi tangga untuk ke kamar gadis tadi, tiba-tiba dia mendengar alunan ayat suci Al-Quran dari bilik sebelah. Terdengar olehnya akan sebuah ayat yang benar-benar mengetuk pintu hatinya…

“Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik.”

Pemuda tadi tersentak! Dia menjadi kaku seketika lantas dalam keadaan ketakutan yang amat sangat, dia pun menuruni tangga itu dan berlari sekuat hatinya. Dia terus berlari tanpa ada arah yang pasti untuk dituju, sehinggalah akhirnya dia terhenti di sebuah pondok usang. Lalu dia pun masuk dan berehat sebentar di dalam pondok itu.

Pemuda itu menangis. Sudah begitu lama dia bergelumang dengan dosa dan maksiat itu sehinggalah akhirnya ayat Allah datang menyapa hatinya yang selama ini lalai. Sedang dia duduk di situ, lalu di situ satu rombongan kafilah yang ingin menjalankan urus niaga di kota yang berdekatan. Tiba di pondok itu, pemuda itu terdengar orang-orang yang berada dalam kafilah itu sedang bercerita tentang dirinya. Mereka mengingatkan ahli rombongan itu supaya berjaga-jaga dengan diri pemuda itu kerana dia sering mengganggu mereka dan hasil jualan mereka.

Pemuda itu lantas tenggelam dalam tangisannya yang panjang. Dia berdoa kepada Allah swt. Katanya;

“Ya Allah, selama ini aku telah bergelumang dengan dosa-dosa kerana mengikuti kehendak nafsuku. Kemudian Engkau ingatkan diriku dengan ayat-ayat suci Mu. Ya Allah, kemudian Engkau datangkan pula kepadaku rombongan kafilah ini untuk mengingatkan aku betapa bencinya orang ramai terhadap sikapku selama ini. Ya Allah, aku ini buruk pada pandangan-Mu dan buruk juga pada pandangan manusia. Hinanya diriku ini Ya Allah”

Pemuda itu terus berada dalam tangisannya. Akhirnya dia telah berjanji kepada dirinya bahawa itu adalah saat dan ketika di mana dia perlu berubah! Ya, saat dan ketika itu juga. Dia akan menyahut hidayah yang datang menerpa dirinya itu. Dia yakin betapa banyak dan besar pun dosanya selama ini, Allah tidak akan pernah mensia-siakan hamba-hamba Nya yang ingin bertaubat dan berubah. Dia ingin tinggalkan semua kejahatannya selama ini.

Lalu pemuda ini berazam untuk mengembara dan mempelajari seberapa banyak ilmu agama. Dia merantau dari sebuah daerah ke sebuah daerah yang lain. Dari satu negeri ke satu negeri yang lain. Semuanya kerana ingin mendalami ilmu agama yang mampu mendekatkan dirinya kepada Maha Pencipta. Dia lakukan semua itu atas nama sebuah taubat yang murni. Taubat yang telah mengubah dirinya dari sehina-hina manusia kepada hamba yang begitu dekat dengan Allah.

Tahukah kalian siapa pemuda ini? Dia ialah Fudhail bin Iyadh, seorang ulama’ yang muktabar! Seorang ulama’ yang telah menyirami jutaan manusia dengan ilmu-ilmunya yang mengesan di lubuk hati. Ilmu yang membugar dan membangkitkan keimanan dalam diri manusia. Begitu contoh langsung yang Allah tunjukkan kepada kita wahai teman. Itulah kesannya orang yang bertaubat. Tidak kira betapa jahat dan buruk pun kita selama ini pada pandangan Allah dan manusia di sekeliling, di sana masih ada harapan untuk kita berubah dan tidak ada istilah terlambat atau “takde peluang” untuk kita berubah.

Inilah ole-ole yang dapat dihadiahkan dari bumi Istanbul. Sedikit mutiara ilmu yang mudah-mudahan dapat membawa kita mencari jalan pulang. Ingatlah, kita ini asalnya dari Syurga, singgah ke dunia sekadar mencari bekal. Ingatlah kita ini berada dalam perjalanan pulang ke tempat asal masing-masing. Mudah-mudahan dipermudahkan jalan itu untuk kita. Wallahu alam…

Selamat menyambut Ramadhan Mubarak! Semoga di akhir Ramadhan ini kita berubah 180 darjah, berubah dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik dan lebih baik…Wassalam. =)

 

Menanti Subuh

Belajar di luar negara ni cabarannya berbeza. Waktu solat berubah-rubah macam pasang surut air laut. Bila tiba musim sejuk, waktu Subuh tak akan tamat sehinggalah pukul 8 pagi dan waktu Maghrib pula seawal jam 4 petang. Malamnya begitu panjang dan siangnya begitu singkat. Namun jangan mudah buat andaian. Walaupun waktu Subuh selewat jam 7,8 pagi, namun untuk bangun dari kehangatan duvet (selimut) menuju ke bilik air yang sejuk macam peti ais bukanlah sesuatu yang mudah. Waktu Zohor dan Asar pula begitu hampir sehingga terpaksa di jamakkan kerana bertindih dengan waktu kelas@exam@praktikal dll.

Begitulah cabaran di musim sejuk.

Tiba musim panas waktu solat juga berubah, dengan extreme sekali! Waktu Isyak di masjid selewat jam 11 malam dan waktu Subuh akan masuk seawal jam 2.40 pagi. Waktu ini jugalah selalunya umat Islam di sini akan menyambut tibanya Ramadhan al-Mubarak. Subuh tamat seawal 4.30 pagi. Memang untuk bangun Subuh pada musim panas ni sungguh mencabar.

Bayangkan lah masing-masing menjalani siang hari yang begitu panjang. Bermula dari jam 5 pagi yang sudah terang macam pukul 10 di Malaysia sehinggalah tibanya waktu Maghrib pada jam 9.45 malam. Hampir 16@17 jam menjalani hari siang yang pastinya meletihkan sesiapa sahaja. Bila tiba waktu malam, mata menjadi begitu berat untuk dibuka. Kadang-kala menanti Isyak sahaja sudah begitu mencabar, apakan pula Subuh.

Memang tunggang-langgang menyusun waktu di musim panas ni. Waktu solat Subuh juga bisa menjadi huru-hara bagi kami di bumi Eropah ni. Jika tidak fikirkan azab seksanya meninggalkan solat fardhu, mungkin qada’ Subuh akan menjadi option kami setiap hari. Bangun pagi esok, qada’ saja Subuh yang ‘terlepas’. Bagi saya, istilah ‘terlepas’ mungkin kurang sesuai digunakan. Kerana terlepas maksudnya tidak sengaja untuk meninggalkan solat, bukannya sudah ‘plan’ tak nak solat.

Sebenarnya kita sendiri boleh memberitahu samada kita benar-benar terlepas untuk solat Subuh atau kita sudah ‘plan’ untuk terlepas solat Subuh kita. Kita boleh kenal dengan kemampuan diri sendiri. Kalau kita ni jenis yang bila dah tidur tu memang susah nak bangun, pandai-pandai lah kita atur masa untuk solat. Contohnya, balik dari solat Isyak di masjid dah pukul 11 lebih. Bukak internet sekejap sambil minum secawan teh panas, tup tup dah pukul 12 lebih. Ada lebih kurang 2 jam sahaja lagi sebelum masuknya waktu Subuh. Kalau pun kita tak larat nak tunggu solat jemaah di masjid pada pukul 4 pagi, at least solat lah di bilik bila masuknya waktu Subuh. Lepas tu nak tidur, tidur lah.

Esok pagi kalau nak bangun pukul 9 atau pukul 10 pun takpe, sebab sekarang ni masing-masing dah takde kuliah. Semua sedang bercuti. Kalau yang ada kuliah pun, masih boleh bangun pukul 8 pagi, still dapat 5 jam tidur. Nanti balik kuliah tidur lah balik between Zuhur dan Asar. Zuhur jam 2 petang, Asar pulak jam 7 petang, jadi ada banyak masa untuk kita tidur petang untuk prepare kan diri untuk malam nanti.

Naqib saya selalu pesan!

Semuanya terletak pada mentaliti kita, mind set. Kalau kita dah set kan dalam minda yang kita nak solat Subuh, no matter what kita pasti dapat solat, insyaallah! Either kita ni jenis yang akan stay up menanti Subuh atau pun tidur dan bangun awal untuk Subuh, kita pasti mampu sebab otak kita sudah nekad. Bila fikiran kita sudah menguasai tindakan, mudahlah diri kita dikawal untuk melakukan sesuatu yang kita inginkan tersebut.

Contohnya kawan-kawan saya yang kerja part-time sebagai cleaner di sini. Mereka perlu bangun seawal jam 4 pagi untuk ke tempat kerja. Kadang-kala dengan berbasikal. Cuba bayangkan di saat orang lain sedang enak menikmati tidur, mereka terpaksa mengayuh basikal meredahi kesejukan angin. Sejuknya seakan-akan pisau yang menghiris kulit. Saya sangat kagum dengan kawan-kawan saya ini.

Sebab apa mereka boleh bangun?

Bukan mereka sahaja. Bahkan kita juga, jika berada di posisi tersebut akan mampu bangun seawal 4 pagi kerana mind set yang kuat. Bagi mereka yang bekerja, bangun 4 pagi adalah kemestian kalau tak nak kena buang kerja. Kalau kena buang kerja nanti, hilang lah sumber pendapatan sampingan yang beratus-ratus pound jugak tu. Jadi, disebabkan sudah diletakkan dalam fikiran masing-masing, “aku akan dapat 400 pound tambahan setiap bulan jika aku bangun untuk kerja setiap hari”, maka tidak hairanlah mereka dapat bangun seawal tersebut.

Jadi, apa pula mind set kita untuk Subuh?

Ganjaran kita bukan lah berbentuk wang beratus pound, tetapi ganjaran kita adalah pelaburan alam ghaib yang kita sendiri tidak tahu berapa nilainya. Barangkali nilai satu solat Subuh kita mampu menyelamatkan kita daripada api neraka nanti! Atau mungkin juga ada usaha kita untuk bangun Subuh itu dikira sebagai amalan baik yang menghapuskan dosa-dosa kita yang banyak. Kita tidak tahu. Namun, kelebihan-kelebihan itu telah dikhabarkan kepada kita daripada Rasulullah saw, seperti doa baginda;

“Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Ada juga hadis yang mengingatkan kita tentang kelebihan Subuh ini;

“Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).

“Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Begitu banyak ganjaran dan janji yang Allah berikan kepada mereka-mereka yang menjaga solat Subuhnya. Siapakah yang lebih menepati janjinya melainkan Allah swt? Sesungguhnya berbahagialah orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk sentiasa menjaga solat Subuh nya. Marilah kita berdoa supaya kita sentiasa digolongkan dalam kalangan yang diberikan kekuatan untuk melaksanakan perintah ini.

Cuba kita renungkan kembali, daripada 365 hari yang lepas, berapa hari kita dapat tunaikan Subuh dalam waktunya? Berapa hari kita Subuh gajah? Berapa hari kita qada’ Subuh? Kalau kita masih terkial-kial membilang hari-hari tersebut, maka tepuk dada tanyalah iman. Tidak takut kah kita bermain-main dengan perintah wajib ini? Solat Subuh bukannya solat option untuk orang-orang yang ingin menjadi lebih baik@ soleh, tapi ianya perintah wajib. Bila kata wajib, maka semua orang perlu buat. Tak buat, ada azab yang dijanjikan. Tak ada istilah siapa yang solat subuh ni akan jadi “Pak Lebai”. Kita cuma buat tugas@ tanggungjawab kita yang wajib, bak kata Balotelli, “The reason why I’m not celebrating is because I’m just doing my job, like if you see a post man. Whenever he sends a letter, did he celebrate?” (siapa yang tak tengok Euro mungkin tak nampak connection nya di sini)

Marilah kita tanamkan azam untuk jadikan 365 hari yang mendatang dipenuhi dengan Subuh di awal waktu, berjemaah seeloknya. Insyaallah Ramadhan yang kian hadir dapat menjadi madrasah terbaik untuk melatih kita dengan intensif untuk bangun Subuh. Mudah-mudahan, lepas keluar daripada “kem bina iman” dalam bulan Ramadhan ni, dapatlah jadi perbekalan untuk 11 bulan yang mendatang berikutnya. Wallahu alam.

p/s: jika ada yang sudi berkongsi tips2 bangun Subuh, tips2 menjaga solat Subuh, boleh lah kongsikan di sini. Saya yakin, ramai juga yang terdetik di hati untuk mencari formula2 menjaga Subuh masing-masing.

 

Pilihanraya musim haji; sebuah pandangan

Assalamualaikum wbt…

Baru-baru ini kita mendengar desas-desus tentang pilihanraya umum yang bakal diadakan. Sebenarnya semua pihak masih bertanya-tanya bilakah tarikh sebenar pilihanraya kali ini akan diumumkan. Namun begitu, berita yang kita dengar sejak belakangan ini mengatakan bahawa berkemungkinan besar ianya akan berlangsung pada musim haji tahun ini.

Berita ini mula menjadi tanda tanya banyak pihak apabila Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ketua penerangan PAS mengeluarkan kenyataan menggesa anggota PAS yang akan terlibat dengan pilihanraya menangguh dahulu niat mereka untuk menunaikan haji pada tahun ini. Kenyataan ini seterusnya lebih mendapat perhatian apabila presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan bahawa ada kemungkinan pihak kerajaan ingin mengadakan pilihanraya pada musim haji sebagai usaha untuk memenangi pilihanraya kali ini. Kenyataan ini dipetik daripada Malaysiakini.com. Untuk bacaan lanjut; http://www.malaysiakini.com/news/199669

Spekulasi bahawa pilihanraya bakal diadakan pada musim haji menjadi lebih hangat apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa pengundi PAS boleh menangguhkan haji sekiranya terjadi pilihanraya pada musim haji tahun ini. Walaupun begitu, itu hanyalah merupakan pandangan peribadi tuan guru, bukannya keputusan parti. Boleh baca di sini; http://www.malaysiakini.com/news/200938

Begitulah seterusnya, artikel demi artikel dan pelbagai pandangan telah kita dengar mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan ini. Saya tertarik dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Dr. Asri berkaitan isu ini. Beliau menyifatkan perbuatan mengadakan pilihanraya pada musim haji sebagai satu kesalahan. Perbuatan ini diibaratkan sama dengan memilih untuk solat di tempat orang lalu-lalang. Kesalahan bukanlah pada orang yang melintas di hadapan orang yang bersolat, tetapi pada orang yang sengaja memilih tempat solat yang begitu.

Jika kita melihat kembali isu ini dengan lebih mendalam dan berfikir sejenak dengan akal yang waras, sebenarnya isu sebegini tidak seharusnya timbul, apatah lagi di negara kita yang menjadi perhatian dunia Islam yang lain. Negara yang masih diperintah oleh orang Islam, mempunyai parti pembangkang yang juga memperjuangkan Islam, Malaysia tidak seharusnya dirosakkan oleh isu-isu sebegini.

Bagi pendapat peribadi, sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk mengadakan pilihanraya pada musim haji tahun ini, ianya adalah suatu pilihan yang tidak bijak!

Pertama sekali, ianya adalah suatu bentuk kezaliman kepada rakyat yang ingin menunaikan haji. Kerajaan tidak sepatutnya menafikan hak mereka untuk mengundi. Mungkin ada yang berpendapat; “Kita bukannya menghalang mereka untuk menunaikan haji. Kita tak suruh pun mereka tangguhkan haji semata-mata untuk mengundi.” Benar! Memang tidak sesiapa yang dipaksa untuk menangguhkan haji, tapi ianya seperti yang diibaratkan oleh Dr Asri. Kita sengaja solat di tempat orang melintas. Bukan salah orang yang ingin menunaikan haji, tetapi salahnya pada kerajaan yang mengadakan pilihanraya pada masa tersebut (jika benar keputusan ini dibuat).

Kedua, keputusan atau polemik politik sebegini tidak memberikan sebarang keuntungan @ political mileages untuk pihak kerajaan kerana dalam isu ini, orang akan melihat pihak kerajaan sebagai watak jahat. Bagi saya, pihak pembangkang dengan mudah dapat menggunakan isu ini untuk meraih undi daripada rakyat. Seharusnya pihak kerajaan lebih bersifat active, bukan reactive apabila menerima kenyataan daripada pihak PAS tentang isu pilihanraya pada musim haji ini. Boleh sahaja sekiranya kerajaan ingin memenangi hati rakyat dengan respon yang lebih bijak. Contohnya, dengan memberi jaminan bahawa kerajaan mengambil kira sensitiviti umat Islam yang ingin menunaikan haji. (Ini sekiranya kerajaan benar-benar tidak bercadang mengadakan pilihanraya pada musim haji)

Ketiga, timbul satu tanda tanya kepada saya. Adakah majoriti mereka yang menunaikan haji pada tahun ini adalah pengundi PAS? Adakah mana-mana pihak yang sudah membuat analisa tentang bilangan pengundi UMNO atau PAS yang akan berangkat menunaikan haji? Jika kita tidak tahu, mengapa perlu dijadikan perkara ini sebagai isu? Pada pandangan saya, sekiranya pihak PAS ingin memastikan anggotanya yang terlibat dengan pilihanraya untuk menangguhkan haji mereka, perkara ini boleh diselesaikan dengan mengeluarkan arahan di peringkat dalaman parti. Tidak perlulah ianya dijadikan suatu isu besar, kerana bukan semua yang ingin menunaikan haji itu adalah pengundi PAS.

Adakah PAS cuba meraih political mileages dalam isu ini? Atau ianya sengaja digembar-gemburkan oleh pihak ketiga yang ingin menghangatkan pertembungan antara UMNO dan PAS? Wallahu alam. Tidak dapat diketahui niat masing-masing. Mungkin sahaja pemimpin PAS sekadar melahirkan kebimbangan sekiranya pilihanraya diadakan pada musim haji ianya akan mengganggu perjalanan jentera pilihanraya mereka. Lalu isu ini dipanaskan oleh sesetengah pihak lalu timbul lah pelbagai spekulasi. Siapa yang bijak menguruskannya akan menang dalam isu ini.

Keempat, kita perlu melihat dari kaca mata orang yang ingin menunaikan haji, tidak kira mereka pengundi PAS atau UMNO. Menunaikan haji di Malaysia tidaklah semudah yang kita sangkakan kerana menunggu kuota haji sahaja kadang-kala memakan masa bertahun lama. Saya dimaklumkan, sekiranya orang muda seperti saya (23 tahun) mendaftar dengan tabung haji pada tahun 2011 yang lepas, giliran haji saya ialah pada tahun 2042 akan datang. Jadi, amatlah menyedihkan sekiranya mereka yang sudah lama menunggu giliran menunaikan haji mendengar tentang berita pilihanraya pada musim haji ini. Tambahan pula jika mereka ini mempunyai semangat tinggi dalam parti politik masing-masing.

Akhir sekali, kita masih ditinggalkan dengan pelbagai tanda-tanya tentang bilakah tarikh pilihanraya umum akan diadakan. Mungkin benar ianya akan diadakan pada musim haji kali ini, atau mungkin sahaja ianya sekadar gimik politik. Apa pun, kita akan terus menunggu pengumuman yang bakal dibuat. Harapan saya, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dapat menguruskan sebarang isu dengan bijak dan meletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan parti politik masing-masing.

p/s: Di rantau Asia tenggara, umat Islam di Malaysia mungkin yang paling bertuah. Di Utara kita, umat Islam Rohingya dibunuh saban hari. Di selatan kita umat Islam di Singapura ditindas, manakala di Indonesia pula keadaan ekonomi tidak terlalu memihak kepada umat Islam. wallahu’alam.

 

ayah hero satu dunia!

Ramadhan kian menghampiri. Bersama datangnya bulan mulia ini, genap lah empat tahun ayah pergi meninggalkan dunia ini untuk selamanya. Teringat semua kenangan yang saya kongsikan dengan ayah semasa zaman kecil dulu. Kenangan yang sentiasa segar dalam ingatan saya, seolah-olah semuanya hanya berlaku semalam.

Hari saya dan ayah akan bermula dengan solat Subuh berjemaah, sebelum ayah keluar untuk mencari rezeki dengan botnya yang sudah berusia itu. Basikal tua miliknya yang berwarna hitam itu sentiasa kelihatan segak di mata ayah. Dia bangga dengan satu-satunya kenderaan rasminya untuk ke jeti bot setiap pagi.

Dia sentiasa ingin melihat saya dan emak bersarapan sekali dengannya walaupun kebanyakan hari dia hanya mencicip kopi pekat buatan istimewa emak. Salah satu sifat yang sentiasa membuat saya berasa kagum dengan ayah ialah bagaimana dia akan memastikan waktu-waktu perdananya diluangkan bersama anak dan isteri. Waktu makanlah dia akan berkongsi ilmu-ilmu agama yang didengarnya di surau. Waktu itu jugalah dia akan bertanyakan tentang pelajaran saya. Walaupun mak dan ayah tidak tahu nak mengajar saya bagaimana untuk menyiapkan kerja sekolah, mereka tidak pernah lupa mengambil berat perihal akademik saya setiap hari. Itulah sumber motivasi saya untuk sentiasa cemerlang di kelas. Rasa puas bila dapat bagi tahu emak dan ayah, “adik dapat nombor satu!” kerana, senyuman mereka saat itu akan membuatkan saya sentiasa bahagia.

Pulang dari laut, sayalah orang yang paling setia menunggu ayah di muka pintu! Biasanya dia akan pulang lewat sedikit berbanding saya pulang dari sekolah. Setiap hari, saya dan emak akan menunggu ayah untuk makan tengah hari bersama. Saya dan emak akan bergilir-gilir bercerita perjalanan hari kami kepada ayah sambil dia dengan senyum yang tidak lekang di wajah akan mendengar dengan penuh sabar. Selesai makan tengah hari, mak akan terus menyiang hasil-hasil laut yang ayah bawa pulang dan saya lah yang sentiasa mengacau. Dari situlah saya belajar nama-nama ikan dan spesies-spesies laut yang mungkin kebanyakan orang zaman sekarang tidak berkesempatan untuk melihatnya. Dari situ jugalah saya belajar menyiang pelbagai jenis ikan dan hasil laut yang lain, dan pengalaman itulah yang banyak membentuk minat saya untuk memasak.

Ayah biasanya akan tidur sebentar sementara menunggu masuknya waktu solat Asar. Petangnya, selepas solat dan minum petang di rumah, ayah akan membawa saya menaiki basikal tuanya untuk bersiar-siar. Seingat saya, sehingga saya berada di darjah tiga pun saya masih membonceng basikal tua ayah. Waktu itu adalah waktu istimewa buat saya! Setiap hari ayah akan bawa saya bersiar-siar, sejak saya masih kecil lagi. Antara pesannya yang masih saya ingat sampai sekarang, “Ayah dengan mak bukannya orang senang. Nanti ayah dah takdak, ayah tak dapat nak tinggalkan harta untuk anak-anak ayah. Siapa yang belajar pandai-pandai, pelajaran itulah yang akan jaganya nanti.”

Sebelum pulang ke rumah kami akan singgah di kedai kopi John untuk makan bihun sup dan mee rebus. Untuk saya bihun sup dan untuk ayah mee rebus. Ayah juga akan bungkuskan mee rebus untuk mak di rumah. Sekarang ni bila dah besar saya sudah tidak makan di situ lagi. Nak singgah pun terasa sayu sangat. Tak ada orang untuk berbual. Mungkin suatu hari nanti jika diizinkan Allah, saya akan bawa anak-anak saya pula untuk makan bihun sup di situ.

Solat maghrib, ayah akan membawa saya dengan basikal tuanya untuk berjemaah di masjid. Selalunya selepas solat maghrib kami akan terus berada di masjid untuk menunggu Isyak. Ayah akan bersama dengan kawan-kawannya manakala saya dan kawan-kawan saya akan memburu pahala lebih dengan melastik cicak. Saya pun tak pasti betul atau tidak dapat pahala dengan melastik cicak, tapi itulah aktiviti kami semasa kecil. Indah sebenarnya suasana di masjid ketika itu. Walaupun bising dengan suara kami budak-budak, masjid menjadi tempat yang lebih hidup waktu itu. Kini, suara-suara itu sudah lama hilang. Anak-anak sudah mula menjauh daripada masjid kerana sering dimarahi orang masjid.

Bila tiba waktu tidur ayah akan hamparkan tilam untuk saya. Kesukaan saya sewaktu kecil ialah tidur di depan TV kerana saya takut untuk tidur di dalam bilik. Teringat lagi saya bila ayah mengibas-ngibas kain pelikat untuk menghalau nyamuk sehinggalah saya dapat tidur dengan lena. Bila bekalan elektrik terputus, saya akan tidur di ribaan ayah sambil dia mengipas saya dengan kipas buluh yang dia dapat sebagai cenderamata ketika marhaban di rumah-rumah kenduri. Satu kegemaran ayah ialah bercerita tentang sejarah. Topik yang selalu diulangnya ialah ketika mana zaman penjajahan Jepun dahulu. Dia masih berada di darjah dua ketika itu, sebagai ketua kelas. Setiap pagi dia perlu menaikkan bendera matahari naik itu sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun. Selalu juga ayah nyanyikan lagu itu untuk saya.

Antara lain ialah kesukaannya bercerita tentang kesusahan yang dilalui oleh keluarga kami. Bagaimana ayah dan mak sama-sama memerah kudrat mereka untuk membesarkan kami yang seramai 9 orang ini. Kisah perjuangan ayah dan emak inilah yang sebenarnya menjadi azimat yang saya pegang sehingga kini. Mungkin kerana saya dilahirkan ketika keluarga saya sudah tidak terlalu susah, maka ayah sentiasa mahu saya ingat bahawa saya bukannya dari keluarga berada. Menurut kak long, ayah merupakan nelayan di waktu pagi. Pulang sahaja dari laut, dia dan emak akan mengambil upah untuk bersawah pula daripada jiran kami. Dahulu kakak dan abang saya akan duduk bersama untuk makan. Mereka akan memegang pinggan masing-masing kerana makanan yang mak masak akan dibahagikan sama rata antara mereka. Jika ada rezeki lebih, dapatlah mereka merasa daging lembu sebulan sekali.

Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang daripada ayah dan emak sehingga membuatkan saya sentiasa percaya bahawa kasih-sayang ibu bapa lah perkara yang paling penting untuk setiap anak. Allah swt itu Maha adil. Dia tidak meletakkan kebahagiaan itu hanya pada banyaknya harta, tapi pada tingginya kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Sebab kasih dan sayang itu milik semua orang. Milik sang miskin mahupun kaya.

Sempena menyambut hari bapa sedunia, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak kita semua untuk terus bersyukur kerana dikurniakan seorang ayah, abah, abi dan apa sahaja panggilan kita untuk mereka. Semoga kita sentiasa menghargai setiap masa yang ada bersama mereka. Kita tidak tahu, mungkin esok atau lusa mereka akan pergi meninggalkan kita untuk selamanya. Cipta lah seberapa banyak kenangan manis dengan mereka kerana itulah satu-satunya tinggalan yang ada setelah dia pergi meninggalkan kita nanti. Saya sentiasa teringin di saat saya sudah dewasa kini meluangkan masa dengan seorang ayah, membawa ayah ke kedai kopi dan berbual-bual dengannya seperti waktu dulu.

Kepada yang masih berpeluang melakukannya, gunakan lah peluang ini dengan sebaiknya. Bila ada masa lapang, atau bila tiba musim cuti, luangkan lah masa untuk bersama dengan mereka. Ingatlah, seorang ayah tidak dapat hidup selamanya untuk kita, tapi ajaran dan didikannya akan terus hidup di dalam diri kita sampai bila-bila. Kepada yang membaca, saya mohon sedekah kan al-fatihah untuk arwah ayah saya dan kepada ayah-ayah yang sudah tidak ada lagi di dunia ini. Mudah-mudahan doa yang ikhlas akan dapat mendatangkan manfaat buat mereka di alam sana. Wallahu ‘alam.