Monthly Archives: January, 2012

Barangkali “kebebasan” itu tidak baik untuk kita

Assalamualaikum wbt…

Belakangan ini kita seringkali mendengar hujah dan perdebatan tentang hak kebebasan samada kebebasan mahasiswa untuk bersuara, kebebasan golongan gay untuk dilayan dan dihormati, kebebasan industri filem untuk menyiarkan apa sahaja bentuk hiburan dan pelbagai lagi bentuk kebebasan yang disuarakan atas satu tema iaitu HAK ASASI MANUSIA.

Persoalan pertama yang perlu kita tanya setelah meneliti begitu banyak ucapan dan penulisan yang menyokong idea kebebasan ini ialah apakah maksud sebenar HAK ASASI MANUSIA? Jika diteliti secara bahasanya sahaja, saya yakin ramai di kalangan kita akan bersetuju bahawa hak asasi ini merujuk kepada hak-hak asas ataupun ‘basic need’ seorang manusia, bukannya kehendak mahupun tuntutan nafsu. Kita perlu faham wujudnya perbezaan yang besar antara keperluan dan juga kehendak. Keperluan adalah sesuatu yang tanpanya, hidup manusia tidak akan menjadi sempurna dan memuaskan manakala ‘kehendak’ pula adalah sesuatu yang kita idamkan untuk dimiliki walaupun dengannya belum tentu hidup kita akan bertambah baik.

Jadi, apakah sebenarnya hak asasi bagi seorang manusia? Saya bersetuju mengatakan bahawa hak untuk hidup sebagai manusia yang bebas adalah hak asasi. Begitu juga hak untuk tidak terkongkong dengan mana-mana peraturan manusia yang bertentangan dengan perintah Allah swt dan Rasulullah saw termasuk dalam hak asasi seorang manusia yang beriman. Banyak lagi hak-hak asasi seorang manusia yang boleh kita bincangkan namun fokus saya sekarang ialah adakah generasi kita kini sedang memperjuangkan hak asasi yang benar ataupun ianya hanyalah sekadar tuntutan nafsu sebahagian pihak yang ingin melihat cita-cita mereka tercapai. Sebuah cita-cita untuk memisahkan kehidupan manusia dengan agama seperti mana yang terjadi pada zaman Renaissance di Eropah suatu ketika dahulu. Masyarakat pada ketika itu melihat bahawa agama adalah penghalang utama untuk manusia maju dalam kehidupannya sehingga agama dipinggirkan dalam segenap kehidupan mereka. (merujuk kepada agama Kristian)

Semuanya ini sebenarnya bermula dengan segolongan kecil manusia yang menyebarkan idea “KEBEBASAN” dan juga “HAK ASASI MANUSIA” yang lama kelamaan telah membentuk suatu pemikiran liberal dalam kalangan masyarakat tanpa sedikitpun disedari mereka. Sedikit demi sedikit nilai-nilai agama ditarik dari kehidupan seharian mereka sehinggalah pada akhirnya “KEPERCAYAAN” juga turut hilang dalam diri generasi muda masa kini di bumi Eropah. Saya telah kerapkali berbual dengan rakan-rakan di sini tentang agama yang mereka anuti dan hampir kesemuanya memberi jawapan “UNDECIDED”. Pemikiran untuk hidup beragama langsung tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka dan mungkin soalan yang saya tanyakan itu hanya pernah ditanyakan sekali dalam seumur hidup mereka. Bagi mereka, hidup beragama atau tidak itu terpulang kepada diri sendiri kerana itu adalah HAK ASASI mereka.

Tujuan saya membawakan contoh di atas adalah kerana saya tidak ingin perkara yang sama berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia. Seperti yang saya katakan tadi, perubahan sedikit demi sedikit yang cuba dibawakan oleh pihak ini tidak akan kita sedari langsung melainkan jika kita benar-benar merenung dan mendalami tujuan sebenar agenda yang cuba mereka bawakan ini. Contoh terbaru yang boleh saya berikan ialah kelulusan untuk membenarkan industri perfileman di Malaysia menapis sendiri filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakan daripada kita mungkin tidak menyedari akan hal ini dan tidak akan melihat kesannya dalam jangka masa yang pendek, namun saya sangat yakin bahawa perkara ini akan membawa kesan yang sangat buruk kepada anak-anak kita pada 10 atau 20 tahun akan datang.

Satu lagi perkara yang membimbangkan ialah idea-idea ini tidak diketengahkan dalam masyarakat oleh seorang tukang karut ataupun peserta maharaja lawak, tetapi diutarakan oleh tokoh-tokoh yang mendapat tempat dalam masyarakat. Sekiranya idea ini hanya dibawakan sebagai bahan lawak, mungkin masyarakat akan memandang sebelah mata sahaja, namun bila ianya dibawa oleh tokoh masyarakat maka akan menjadi mudahlah untuk masyarakat menerima pemikiran yang cuba dibawakan tersebut. Sekali lagi saya ulang, kita sedikitpun tidak akan menyedari perubahan pemikiran yang berlaku dalam masyarakat kita kerana ianya disampaikan oleh orang-orang yang kita hormati kerana ketokohannya.

Firman Allah swt:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah:216)

Mungkin kita tidak akan menyukai akan pendapat ataupun tindakan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dan menentang idea KEBEBASAN yang melampau ini, namun inilah realitinya dunia kita sekarang. Mungkin kita tidak suka dengan pandangan mereka dan menganggap mereka tidak menghormati dan menghargai hak asasi seorang manusia namun akhirnya nanti kita mungkin akan akur sekiranya pemberian hak yang melampau ini akan membawa  keburukan kepada kita.

Mari saya berikan sebuah analogi yang mudah untuk kita sama-sama memahami apa yang cuba disampaikan;

“Ada seorang anak kecil berusia 2 tahun sedang bermain-main di dalam rumahnya. Ibunya sedang memasak ketika itu. Bila anak kecil ini bermain-main di dapur rumahnya, dia terlihat sesuatu yang bersinar-sinar (pisau) di atas meja lalu dia pun memanjat kerusi untuk mendapatkan pisau tersebut. Ibunya yang menyedari perkara tersebut bertindak pantas mengambil dan menyimpan pisau tersebut di tempat yang selamat. Anak kecil ini pun menangis dan pada saat itu yang ada dalam pemikirannya ialah ibunya zalim kerana mengambil mainannya (pisau).

Isunya sekarang, anggapan anak kecil itu tentang ibunya belum tentu benar. Mungkin pada pandangannya ibunya itu adalah seorang yang zalim walaupun apa yang dilakukan ibunya itu adalah ‘rahmat’ untuknya pada saat itu. Bayangkan perkara yang akan terjadi sekiranya ibunya membiarkan anak kecil ini tadi bermain dengan pisau tersebut.

Kenapa anak kecil ini menganggap ibunya zalim? Jelas sekali kerana dia tidak faham pun kesan buruk yang akan dialaminya sekiranya ibunya membenarkan dia bermain dengan pisau tersebut. Dalam fikirannya, pisau itu tadi hanyalah sebuah mainan yang bersinar-sinar.”

Jadi, itulah sebenarnya yang ingin saya sampaikan dalam penulisan kali ini. Sesungguhnya saya menulis dalam keadaan saya benar-benar risau tentang nasib umat Islam di tanah air kita yang tercinta. Saya tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa apa yang saya fikirkan dan tuliskan ini adalah benar ataupun tidak pada pertimbangan neraca umum, namun penulisan ini adalah luahan daripada seorang anak muda yang tidak rela melihat generasinya menjadi hancur pada masa akan datang. Wallahu ‘alam.

 

Mahasiswa dan perbezaan jemaah?

Bismillahirrahmanirrahim…

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat nikmat.” (QS Al Hujurat 10)

Setiap orang mukmin itu adalah bersaudara. Oleh itu, setiap manusia yang bergelar mukmin haruslah berusaha dengan sebaiknya untuk menjaga hubungannya dengan mukmin yang lain. Sekiranya ada di kalangan mereka yang terlibat dalam perbalahan maka perlu untuk kita mendamaikan antara keduanya dan sekiranya ada pihak yang menzalimi maka kita perlu menolong kedua-duanya. Kita menolong yang dizalimi supaya dia bebas daripada kezaliman itu. Kita juga menolong mengingati dan mencegah orang yang berlaku zalim kerana kita tidak sanggup membiarkan dia terus berada dalam kemurkaan Allah swt.

Belakangan ini, terdapat suatu fenomena kurang sihat yang berlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di institusi pelajaran di luar negara iaitu pertelagahan sesama mereka yang berpunca daripada perbezaan jemaah ataupun ideologi politik. Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara seperti di United Kingdom, Mesir, Korea dan sebagainya sering terlibat dalam masalah perbalahan ini sehinggakan terdapat di kalangan mereka yang sanggup putus sahabat kerana tidak sanggup menggadaikan prinsip jemaah yang disertainya walaupun kadang-kala perkara yang tidak dipersetujui itu hanya masalah kecil yang sewajarnya diselesaikan dengan cara yang baik.

Masalah ini menjadi bertambah runcing apabila wujudnya pihak-pihak yang bertindak ‘offensive’ terhadap anggota jemaah lain dengan menggunakan pelbagai bentuk serangan. Antaranya ialah dengan melakukan serangan-serangan melalui penulisan di laman blog, facebook dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malah ada di kalangan mereka yang bertindak memulaukan individu-individu yang tidak sebumbung dengan mereka. Acapkali saya berasa hairan kerana terdapat di kalangan mereka yang bergelar pendakwah ini sanggup mengeluarkan kata-kata yang sepatutnya tidak layak untuk akhlak seorang muslim. Perkara ini membuatkan saya berfikir, masih tidak berkesankah tarbiyah yang diterima sehinggakan sanggup berkelakuan seperti itu? Atau belum dikhabarkan lagikah kepada mereka akan mulianya akhlak Rasulullah saw yang setiap harinya menziarahi seorang Yahudi yang pernah melemparinya dengan najis?

Saya secara peribadi amat tidak senang dengan situasi yang melanda mahasiswa-mahasiswa kita ini terutama sekali bila memikirkan bahawa mereka ini semuanya merupakan golongan pelajar yang benar-benar terpilih untuk dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan ini, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dan matang dalam mengendalikan sesuatu perbezaan yang ada serta sentiasa menanti-nantikan ruang kesepakatan yang ada.

Antara perkara yang sering menjadi persoalan saya ialah mengapa kita sering berasa sukar untuk mesra dan bersangka baik dengan perbuatan orang lain yang tidak berada dalam jemaah yang sama dengan kita sedangkan kita tahu perkara yang dilakukannya adalah perkara yang baik. Semestinya perasaan tidak senang dengan orang yang berlainan jemaah ini adalah suatu perkara yang tidak baik dan perlu dihindari sejauh-jauhnya. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapinya?

Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat meminta nasihat daripada seorang murabbi berkenaan perkara ini dan jawapan yang diberikan sangat melegakan. Dunia yang terasa sempit selama ini akhirnya menjadi bagitu lapang untuk saya bernafas semula dalam kesegaran nafas dakwah serta kemanisan ukhuwwah. Berikut merupakan penerangan yang diberikan buat bekalan kita semua;

“Suasana dakwah di luar negara ni ibarat kita sedang berenang di sebatang sungai yang sempit. Di dalamnya ada ramai dai’e yang sedang berenang dan sungai yang sempit itulah gambaran bilangan mad’u yang ada. Masing-masing berenang dengan cara tersendiri untuk menuju ke destinasi yang sama. Sudah menjadi lumrah apabila ramai orang yang berenang pada sebatang sungai yang sempit, pasti sesekali ada yang akan tersakiti oleh yang lain. Mungkin ada yang tersiku, tertarik, tertampar dan sebagainya kerana sungai yang ada itu begitu sempit dan ruang untuk bergerak juga tidak banyak…”

“…Kemudian, bila masa terus berlalu mereka yang berenang di sungai itu tadi akan tiba jua ke muara dan masuklah ke medan baru iaitu laut yang luas tidak bertepi. Sesudah beberapa tahun kita menuntut di luar negara akhirnya kita akan pulang juga ke tanah air untuk menyumbang bakti. Pada masa itu, kita tidak lagi berenang pada sebatang sungai yang sempit tapi kita akan berenang dalam sebuah lautan yang sangat luas dan gelombangnya juga sangat ganas. Terlalu ramai mad’u yang ada dan tenaga dai’e yang ada sangatlah tidak mencukupi. Pada masa ini, kita tidak lagi tersiku atau bertepuk tampar dengan orang lain kerana lautan yang kita renangi itu sangat luas. Bahkan pada masa ini mungkin kita sendiri akan memanggil semula orang-orang yang kita marahkan dahulunya kerana tersiku kita sewaktu berenang di sungai, kerana dalam lautan yang ganas itu nanti, kita hampir-hampir sahaja lemas dan tidak mampu untuk terus berenang bersendirian…”

“…Situasi di tanah air kita ibarat lautan yang luas tersebut. Terlalu ramai orang yang perlu kita ajak kepada dakwah ini sehinggakan kita sendiri-sendiri pasti tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Bukan itu sahaja, di Malaysia kini wujudnya pelbagai lagi ancaman seperti gerakan liberal, syiah, hedonisme dan sebagainya yang menjadikan kita seorang sahaja pasti tidak mampu melawannya. Justeru, sementara berenang di sungai yang sempit ini cubalah untuk berlapang dada dan saling bermafaan antara kita. Peliharalah sebaiknya hubungan sesama pendakwah walaupun berbeza jemaah dan fahaman kerana kita sememangnya saling memerlukan dalam perjuangan di tanah air nanti.”

Akhir sekali, marilah kita sama-sama bermuhasabah kembali prestasi hubungan kita dengan Allah swt dan hubungan kita sesama manusia. Hindarkanlah diri kita daripada menjadi golongan yang sentiasa ingin mengeruhkan lagi keadaan serta memutuskan silaturrahim antara sesama mukmin. Janganlah berprasangka buruk terhadap orang lain kerana ianya termasuk dalam larangan Allah swt;

“Jauhilah kebanyakan dari pasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah berdosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang” (Al-Hujurat:12)

p/s: Semoga dengan semakin matangnya kehidupan akan mengajar kita untuk sentiasa berhati besar dan terbuka untuk manusia-manusia lain yang turut sama inginkan kebaikan seperti kita. Wallahu ‘alam.

Semangat Pemuda: Hero ataupun Zero?

Bismillahirrahmanirrahim…

Tidak dapat dinafikan pada mana-mana zaman sekalipun bahawa golongan pemuda adalah agen perubahan yang paling penting dalam sesebuah negara. Pemuda adalah mereka yang mempunyai segala ciri yang diperlukan untuk sesuatu perubahan itu berlaku kerana mereka sedang berada pada titik kekuatan yang terletak di antara dua titik kelemahan (iaitu masa kecil dan masa tua). Disebabkan itulah kita sering mendengar pada sejarah-sejarah yang tertulis, bahawa pemuda lah yang menjadi tulang belakang terhadap sesuatu kebangkitan sesebuah bangsa.

Menyedari potensi luar biasa yang ada pada golongan muda ini, ramai pihak yang berlumba-lumba menawan hati mereka supaya kelak dapat menjadi agen pelaksana kepada sesuatu ideologi ataupun fahaman. Alhamdulillah, ramai di kalangan pihak tersebut berniat ikhlas dan jujur untuk membimbing pemuda-pemudi ini supaya mempunyai jati diri yang teguh serta matlamat perjuangan yang jelas. Yang paling mustahak ialah matlamat perjuangan tersebut adalah matlamat yang benar dan berpandukan Al-quran dan sunnah Rasulullah saw. Melalui penelitian peribadi, saya dapati beberapa badan NGO yang terdapat di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membimbing anak muda di Malaysia supaya memiliki peribadi dan akhlak seorang muslim yang sebenar serta memberi ruang kepada mereka untuk berjuang pada jalan yang benar iaitu menegakkan semula daulah islamiah. Badan-badan NGO ini mempunyai madrasah tarbiyah yang mampu membentuk individu dan keluarga muslim yang bersedia untuk menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang hidup berlandaskan syariat. Pendekatan yang digunakan ini merupakan suatu qias daripada usaha pembinaan masyarakat yang dilakukan oleh Baginda saw. ketika mentarbiyah para sahabat untuk mendokong pejuangan menegakkan negara Islam.

Berkesempatan menunaikan solat di Masjid Tariq Ibn Ziad, Gibraltar.

Namun demikian, terdapat juga beberapa pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap semangat pemuda yang berapi-api ini untuk dimanfaatkan demi kepentingan peribadi mahupun politik, bukan lagi kepentingan umat. Kita seharusnya mengakui bahawa di sebalik kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam diri anak muda, terdapat suatu kelemahan yang perlu diberi perhatian iaitu kurangnya upaya untuk membuat keputusan dan penilaian dek kerana kurangnya pengalaman hidup. Justeru, kekurangan ini perlu ditampung oleh golongan yang lebih berpengalaman dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan muda supaya segala usaha dan penat lelah mereka dalam berjuang tidak akan menjadi sia-sia dan tiada hala tuju.

Namun, perkara inilah yang saya lihat masih kurang berlaku di tanah air kita. Puak-puak yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi ini seringkali mengambil kesempatan terhadap anak muda. Mereka akan menyogokkan pelbagai ideologi perjuangan yang hanya berorientasikan keuntungan terhadap kepentingan mereka tanpa memikirkan musibah yang bakal menimpa golongan anak muda itu sendiri. Akhirnya, perjuangan yang anak muda sangkakan sebagai sebuah perjuangan yang benar rupa-rupanya tidak lebih daripada sebuah percaturan oleh pihak yang berkepentingan. Mereka ibarat bidak-bidak yang digerakkan di atas papan catur mengikut percaturan tangan-tangan yang berkepentingan.

Saya berasa sangat sedih dan kecewa dengan situasi yang melanda anak muda pada ketika ini. Di saat pohon-pohon tarbiyah sudah mula menguntumkan hasilnya, terdapat tangan-tangan zalim yang sudah tidak sabar memetiknya lalu akhirnya bunga itu mati kelayuan sebelum sempat umat menikmati kesan tarbiyah ini. Pemuda-pemudi yang bakal dilahirkan sebagai pendokong agama ini telah ramai yang tertipu dengan mainan politik di tanah air. Saya tidak bermaksud yang seorang pemuda atau pemudi itu tidak perlu terlibat dalam politik malahan saya katakan itu adalah sebagai tanda pedulinya mereka kepada keadaan umat. Namun, apa yang saya kecewakan ialah ketika mana pemuda-pemudi ini berjuang bukan kerana kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan mereka tetapi lebih kepada sentimen-sentimen yang ditabur oleh sesetengah pihak.

Belakangan ini, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa peristiwa yang melibatkan golongan pemuda khususnya siswa dan siswi tempatan. Sebagai contoh, peristiwa saudara Adam Adli yang menurunkan banting yang mempunyai gambar Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak kerana tuntutan mereka untuk kebebasan institusi pendidikan daripada politik tidak dilayan oleh pihak yang sepatutnya. Peristiwa terbaru yang berlaku ialah peristiwa berdarah pada malam tahun baru yang menyaksikan beberapa mahasiswa tercedera dalam perbalahan dengan pihak polis dan FRU. Menurut laporan, mereka berhimpun pada malam tersebut kerana ingin menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap pihak pentadbiran UPSI yang tidak bersikap professional dalam membincangkan permasalahan yang mereka perjuangkan di samping kes penggantungan saudara Adam Adli oleh pihak universiti.

Pertama sekali, saya ingin sampaikan ucapan takziah dan simpati saya kepada individu-individu yang telah tercedera dalam peristiwa tersebut. Saya juga tidak ingin membuat sebarang komen secara langsung terhadap peristiwa yang berlaku ini. Apa yang ingin saya utarakan di sini lebih bersifat muhasabah dan refleksi terhadap perkara yang telah berlaku. Seperti huraian yang telah saya nyatakan di awalnya, golongan muda adalah mereka yang mempunyai semangat yang luar biasa. Sesuatu idea ataupun keinginan mampu diterjemahkan kepada sebuah realiti bila ada penglibatan daripada golongan pemuda. Buktinya, lihat sahaja peristiwa-peristiwa yang saya nyatakan sebentar tadi. Semuanya itu didokong dan dijayakan oleh anak muda.

Secara jujurnya, saya merasakan sudah tiba masanya untuk semua anak muda terutama di tanah air kita untuk kembali bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya yang sedang kalian perjuangkan? Cuba tanya dengan sejujur-jujurnya dengan membuang sebarang prasangka dan semangat fanatik kepartian yang melampau. Isu, ideologi atau fahaman apakah yang sedang kalian perjuangkan? Adakah ianya sebuah perjuangan benar yang diqiaskan daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad saw ataupun hanya rekaan manusia-manusia yang menjadi tokoh di mata anda sedangkan perjuangan itu hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja? Sekiranya anda mampu bertanya dengan sejujur-jujurnya, pastilah anda akan menemukan matlamat perjuangan yang sebenar dan bukannya menjadi kuda tunggangan terhadap perjuangan orang lain.

Akhir sekali, anak muda perlu tentukan dengan jelas matlamat perjuangan yang ingin dipegang kerana itulah yang akan menentukan samada anda menjadi HERO ataupun ZERO ketika hayat anda di dunia ini. Wallahu’alam.

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.