diaridakwah

February 7, 2012

Rasulullah saw ikutan yang terbaik!

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 9:56 pm

Assalamualaikum wbt,

Bersyukur ke hadrat Illahi yang masih mengekalkan kita dengan nikmat Islam dan Iman. Mudah-mudahan kita akan terus diberikan taufik dan hidayah untuk terus menjadi hamba yang bersyukur kepadaNya.

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”

Antara bukti cintanya seseorang itu kepada Rasulullah saw adalah dengan mencontohi baginda dalam setiap sisi hidupnya. Sesungguhnya Baginda saw itu sempurna pada penampilan dan akhlaknya sehinggakan sesiapa sahaja yang pernah melihatnya akan terus bergetar hatinya. Baginda tidak hanya dicintai oleh mereka yang pernah melihatnya, bahkan turut dicintai juga oleh yang terkemudian. Bukan hanya dicintai manusia, malah sekalian alam turut mengasihinya.

Antara sifat-sifat baginda yang dapat saya kongsikan secara ringkas ialah baginda seorang yang paling amanah pada janji, paling menjaga hubungan baik dengan ahli keluarga dan saudara, selalu menziarahi sahabat-sahabatnya untuk bertanya khabar, bahasa pertuturan yang sangat baik, bersikap pemaaf, pemalu dan sangat kasih kepada orang miskin dan memerlukan.

Justeru, sempena menyambut sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, saya menyeru diri sendiri dan juga rakan-rakan sekalian untuk berusaha mengenali dengan lebih dekat kehidupan Rasulullah saw. Tak kenal maka tak cinta! Jadi, langkah pertama yang boleh kita usahakan adalah dengan mengenali Baginda saw melalui pembacaan, ceramah dan sebagainya. Saya juga cadangkan supaya kita dapat membeli sebuah buku sirah i.e Raheeq-al-Mahktum sebagai permulaan.

Semoga dengan bertambahnya ilmu kita mengenai Rasulullah saw, maka akan bertambah lah rasa kasih dan sayang kita kepadanya. Bukan itu sahaja, kita juga berharap agar dapat mencontohi sifat-sifat yang ada pada baginda dalam kehidupan seharian kita. Sesungguhnya Rasulullah saw itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Mudah-mudahan kita akan dapat amalkan akhlak yang terbaik dalam kehidupan kita.

Akhir sekali, contohi lah sedekat-dekatnya peribadi Rasulullah saw itu, insyaallah berjaya dunia dan akhirat. wallahu ‘alam.

February 1, 2012

~dia juga manusia biasa

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 8:16 pm

Bismillahirrahmanirrahim…

Pernah suatu ketika dahulu, sebelum mengenali dakwah dan tarbiyah ini, dia juga seperti yang lainnya. Kalendar hariannya dipenuhi dengan pekerjaan-pekerjaan yang lebih kurang sama dengan yang lainnya, tiada yang istimewa. Begitu juga dengan akhlaknya. Sebelum menerima sentuhan tarbiyah ini, dia juga seperti kebanyakan remaja yang lain dari segi pemakaiannya, pergaulannya dan cara berhiburnya.

Namun begitu, setelah beberapa ketika dia berada dalam dunia tarbiyah dan dakwah ini, segala yang ada pada dirinya perlahan-lahan berubah kepada yang lebih baik, Alhamdulillah! Syukur kepada Allah yang memberikan hidayah buatnya dan terima kasih juga kepada naqibnya yang sentiasa sabar dalam membimbingnya. Beransur-ansur dia meninggalkan jahiliyah yang pernah ada dalam hidupnya suatu masa dahulu.

Perubahan yang berlaku pada dirinya tidak lah sesuatu yang begitu mendadak sehinggakan disedari oleh kenalan-kenalannya bahkan ahli keluarganya sendiri. Perubahan tersebut berlangsung dalam jangka waktu yang agak panjang, beberapa tahun lamanya. Dia bersyukur kerana perubahan yang berlaku secara perlahan-lahan ini selalunya lebih kuat dan lebih kekal laksana kata-kata pujangga, “perubahan itu biar seperti terbitnya matahari, kita tidak sedar akan terbitnya sehinggalah akhirnya kita hanya tersedar apabila bumi ini sudah terang disimbahi cahayanya.”

Seiring dengan perubahan dan pilihan hidup yang diambilnya, banyak lah perkara-perkara jahiliyah yang menyeronokkan terpaksa ditinggalkan. Di saat anak muda yang lain boleh berpasang-pasangan dengan kekasih masing-masing, dia tegar menahan ajakan nafsu kerana berazam meninggalkan selamanya jahiliyah yang pernah dia lakukan dulu. Bukan sebentar, bahkan bertahun lamanya perasaan cinta dan perasaan untuk berkasih sayang dan mendapat perhatian itu dibukukan dalam hatinya tanpa sepatah kata atau tindakan yang diambil untuk menuruti hajat di hati. Semuanya itu dia lakukan dengan hanya mengharap redha daripada Allah.

Lalu pada suatu hari, saat dia sudah merasakan waktunya telah tiba untuk dia berkongsi rasa, memberi kasih kepada yang halal, Allah telah temukan dia dengan anda. Ya, anda lah teman hidupnya kini! Anda lah insan yang dia nantikan selama ini untuk dia dapat beribadah kepada Allah walau dalam keadaan memenuhi fitrah manusiawinya. Anda akan jadi tempat untuk dia melipat gandakan pahalanya di sisi Allah dan saat itu dia juga berharap agar cinta dan kasih yang disimpan bertahun lamanya itu akan dapat dicurahkan semahunya kepada anda dengan harapan lahirlah keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah.

Ingatlah, walaupun sepanjang perkenalan anda dengannya, anda dapati dia merupakan seorang yang sangat komited dan tinggi pengorbanannya dalam dakwah ini, dia tetap manusia biasa, seperti juga anda dan yang lainnya. Untuk itu, dia punya hak yang perlu anda tunaikan sebagai pasangannya. Walaupun di hadapan ikhwah dan akhawat yang lainnya dia kelihatan serius dan tegas dalam berurusan, tidak bermakna anda perlu teruskan keadaan begitu dalam hal rumahtangga. Saat bersama anda, dia juga ingin menjadi manja, ingin merajuk dan dipujuk, ingin bergurau dan berkongsi cerita. Ketika itu, jangan lah anda pula yang tiba-tiba menjadi keras membatu seolah-olah sedang menghadiri mesyuarat agung tahunan.

Dia juga manusia biasa, seperti juga anda dan yang lainnya. Kadang-kala ada dari sikapnya yang kurang enak pada pandangan anda, jangan terus menghukumnya. Pandanglah dia dengan kaca mata manusiawi kerana dia bukannya malaikat atau bidadari yang diturunkan dari syurga untuk anda. Dia punya banyak kelemahan yang sebenarnya turut dimiliki oleh anda. Maka berlapang dada lah, dan bersabar lah. Sesungguhnya lebih banyak kebaikan yang telah dia bawa ke dalam hidup anda berbanding sedikit cacat celanya itu.

Jika masyarakat barat hari ini mampu untuk meraikan hari-hari istimewa bersama pasangannya dengan cara yang kita rasakan hanya wujud di dalam filem, mengapa tidak anda yang faham agama ini? Walaupun umumnya, bangsa kita ini agak sukar menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing, Agama menyuruh kita yang sebaliknya. Rasulullah saw mengajar kita supaya menjadi yang paling baik pada pasangan kita. Jadi, seharusnya anda yang faham agama inilah yang menjadi contoh keluarga yang paling ‘sweet’ di muka bumi ini.

Akhir sekali, artikel ini ditulis sebagai penghargaan daripada seorang manusia biasa kepada manusia biasa yang lainnya. Jika ada nasihat berguna yang dapat diambil pakai dalam kehidupan harian kita dalam berkeluarga, maka dengan besar hatinya silakan. Kepada yang belum berkeluarga, marilah berazam untuk menjadi teman yang paling ‘sweet’ untuk pasangan anda nanti, kerana anda tahu bahawa dia juga manusia biasa.

wallahu ‘alam.

 

January 18, 2012

Barangkali “kebebasan” itu tidak baik untuk kita

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 1:12 pm

Assalamualaikum wbt…

Belakangan ini kita seringkali mendengar hujah dan perdebatan tentang hak kebebasan samada kebebasan mahasiswa untuk bersuara, kebebasan golongan gay untuk dilayan dan dihormati, kebebasan industri filem untuk menyiarkan apa sahaja bentuk hiburan dan pelbagai lagi bentuk kebebasan yang disuarakan atas satu tema iaitu HAK ASASI MANUSIA.

Persoalan pertama yang perlu kita tanya setelah meneliti begitu banyak ucapan dan penulisan yang menyokong idea kebebasan ini ialah apakah maksud sebenar HAK ASASI MANUSIA? Jika diteliti secara bahasanya sahaja, saya yakin ramai di kalangan kita akan bersetuju bahawa hak asasi ini merujuk kepada hak-hak asas ataupun ‘basic need’ seorang manusia, bukannya kehendak mahupun tuntutan nafsu. Kita perlu faham wujudnya perbezaan yang besar antara keperluan dan juga kehendak. Keperluan adalah sesuatu yang tanpanya, hidup manusia tidak akan menjadi sempurna dan memuaskan manakala ‘kehendak’ pula adalah sesuatu yang kita idamkan untuk dimiliki walaupun dengannya belum tentu hidup kita akan bertambah baik.

Jadi, apakah sebenarnya hak asasi bagi seorang manusia? Saya bersetuju mengatakan bahawa hak untuk hidup sebagai manusia yang bebas adalah hak asasi. Begitu juga hak untuk tidak terkongkong dengan mana-mana peraturan manusia yang bertentangan dengan perintah Allah swt dan Rasulullah saw termasuk dalam hak asasi seorang manusia yang beriman. Banyak lagi hak-hak asasi seorang manusia yang boleh kita bincangkan namun fokus saya sekarang ialah adakah generasi kita kini sedang memperjuangkan hak asasi yang benar ataupun ianya hanyalah sekadar tuntutan nafsu sebahagian pihak yang ingin melihat cita-cita mereka tercapai. Sebuah cita-cita untuk memisahkan kehidupan manusia dengan agama seperti mana yang terjadi pada zaman Renaissance di Eropah suatu ketika dahulu. Masyarakat pada ketika itu melihat bahawa agama adalah penghalang utama untuk manusia maju dalam kehidupannya sehingga agama dipinggirkan dalam segenap kehidupan mereka. (merujuk kepada agama Kristian)

Semuanya ini sebenarnya bermula dengan segolongan kecil manusia yang menyebarkan idea “KEBEBASAN” dan juga “HAK ASASI MANUSIA” yang lama kelamaan telah membentuk suatu pemikiran liberal dalam kalangan masyarakat tanpa sedikitpun disedari mereka. Sedikit demi sedikit nilai-nilai agama ditarik dari kehidupan seharian mereka sehinggalah pada akhirnya “KEPERCAYAAN” juga turut hilang dalam diri generasi muda masa kini di bumi Eropah. Saya telah kerapkali berbual dengan rakan-rakan di sini tentang agama yang mereka anuti dan hampir kesemuanya memberi jawapan “UNDECIDED”. Pemikiran untuk hidup beragama langsung tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka dan mungkin soalan yang saya tanyakan itu hanya pernah ditanyakan sekali dalam seumur hidup mereka. Bagi mereka, hidup beragama atau tidak itu terpulang kepada diri sendiri kerana itu adalah HAK ASASI mereka.

Tujuan saya membawakan contoh di atas adalah kerana saya tidak ingin perkara yang sama berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia. Seperti yang saya katakan tadi, perubahan sedikit demi sedikit yang cuba dibawakan oleh pihak ini tidak akan kita sedari langsung melainkan jika kita benar-benar merenung dan mendalami tujuan sebenar agenda yang cuba mereka bawakan ini. Contoh terbaru yang boleh saya berikan ialah kelulusan untuk membenarkan industri perfileman di Malaysia menapis sendiri filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakan daripada kita mungkin tidak menyedari akan hal ini dan tidak akan melihat kesannya dalam jangka masa yang pendek, namun saya sangat yakin bahawa perkara ini akan membawa kesan yang sangat buruk kepada anak-anak kita pada 10 atau 20 tahun akan datang.

Satu lagi perkara yang membimbangkan ialah idea-idea ini tidak diketengahkan dalam masyarakat oleh seorang tukang karut ataupun peserta maharaja lawak, tetapi diutarakan oleh tokoh-tokoh yang mendapat tempat dalam masyarakat. Sekiranya idea ini hanya dibawakan sebagai bahan lawak, mungkin masyarakat akan memandang sebelah mata sahaja, namun bila ianya dibawa oleh tokoh masyarakat maka akan menjadi mudahlah untuk masyarakat menerima pemikiran yang cuba dibawakan tersebut. Sekali lagi saya ulang, kita sedikitpun tidak akan menyedari perubahan pemikiran yang berlaku dalam masyarakat kita kerana ianya disampaikan oleh orang-orang yang kita hormati kerana ketokohannya.

Firman Allah swt:

“Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah:216)

Mungkin kita tidak akan menyukai akan pendapat ataupun tindakan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dan menentang idea KEBEBASAN yang melampau ini, namun inilah realitinya dunia kita sekarang. Mungkin kita tidak suka dengan pandangan mereka dan menganggap mereka tidak menghormati dan menghargai hak asasi seorang manusia namun akhirnya nanti kita mungkin akan akur sekiranya pemberian hak yang melampau ini akan membawa  keburukan kepada kita.

Mari saya berikan sebuah analogi yang mudah untuk kita sama-sama memahami apa yang cuba disampaikan;

“Ada seorang anak kecil berusia 2 tahun sedang bermain-main di dalam rumahnya. Ibunya sedang memasak ketika itu. Bila anak kecil ini bermain-main di dapur rumahnya, dia terlihat sesuatu yang bersinar-sinar (pisau) di atas meja lalu dia pun memanjat kerusi untuk mendapatkan pisau tersebut. Ibunya yang menyedari perkara tersebut bertindak pantas mengambil dan menyimpan pisau tersebut di tempat yang selamat. Anak kecil ini pun menangis dan pada saat itu yang ada dalam pemikirannya ialah ibunya zalim kerana mengambil mainannya (pisau).

Isunya sekarang, anggapan anak kecil itu tentang ibunya belum tentu benar. Mungkin pada pandangannya ibunya itu adalah seorang yang zalim walaupun apa yang dilakukan ibunya itu adalah ‘rahmat’ untuknya pada saat itu. Bayangkan perkara yang akan terjadi sekiranya ibunya membiarkan anak kecil ini tadi bermain dengan pisau tersebut.

Kenapa anak kecil ini menganggap ibunya zalim? Jelas sekali kerana dia tidak faham pun kesan buruk yang akan dialaminya sekiranya ibunya membenarkan dia bermain dengan pisau tersebut. Dalam fikirannya, pisau itu tadi hanyalah sebuah mainan yang bersinar-sinar.”

Jadi, itulah sebenarnya yang ingin saya sampaikan dalam penulisan kali ini. Sesungguhnya saya menulis dalam keadaan saya benar-benar risau tentang nasib umat Islam di tanah air kita yang tercinta. Saya tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa apa yang saya fikirkan dan tuliskan ini adalah benar ataupun tidak pada pertimbangan neraca umum, namun penulisan ini adalah luahan daripada seorang anak muda yang tidak rela melihat generasinya menjadi hancur pada masa akan datang. Wallahu ‘alam.

 

January 5, 2012

Mahasiswa dan perbezaan jemaah?

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 9:24 pm

Bismillahirrahmanirrahim…

Firman Allah swt:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat nikmat.” (QS Al Hujurat 10)

Setiap orang mukmin itu adalah bersaudara. Oleh itu, setiap manusia yang bergelar mukmin haruslah berusaha dengan sebaiknya untuk menjaga hubungannya dengan mukmin yang lain. Sekiranya ada di kalangan mereka yang terlibat dalam perbalahan maka perlu untuk kita mendamaikan antara keduanya dan sekiranya ada pihak yang menzalimi maka kita perlu menolong kedua-duanya. Kita menolong yang dizalimi supaya dia bebas daripada kezaliman itu. Kita juga menolong mengingati dan mencegah orang yang berlaku zalim kerana kita tidak sanggup membiarkan dia terus berada dalam kemurkaan Allah swt.

Belakangan ini, terdapat suatu fenomena kurang sihat yang berlaku di kalangan mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di institusi pelajaran di luar negara iaitu pertelagahan sesama mereka yang berpunca daripada perbezaan jemaah ataupun ideologi politik. Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara seperti di United Kingdom, Mesir, Korea dan sebagainya sering terlibat dalam masalah perbalahan ini sehinggakan terdapat di kalangan mereka yang sanggup putus sahabat kerana tidak sanggup menggadaikan prinsip jemaah yang disertainya walaupun kadang-kala perkara yang tidak dipersetujui itu hanya masalah kecil yang sewajarnya diselesaikan dengan cara yang baik.

Masalah ini menjadi bertambah runcing apabila wujudnya pihak-pihak yang bertindak ‘offensive’ terhadap anggota jemaah lain dengan menggunakan pelbagai bentuk serangan. Antaranya ialah dengan melakukan serangan-serangan melalui penulisan di laman blog, facebook dan sebagainya. Bukan itu sahaja, malah ada di kalangan mereka yang bertindak memulaukan individu-individu yang tidak sebumbung dengan mereka. Acapkali saya berasa hairan kerana terdapat di kalangan mereka yang bergelar pendakwah ini sanggup mengeluarkan kata-kata yang sepatutnya tidak layak untuk akhlak seorang muslim. Perkara ini membuatkan saya berfikir, masih tidak berkesankah tarbiyah yang diterima sehinggakan sanggup berkelakuan seperti itu? Atau belum dikhabarkan lagikah kepada mereka akan mulianya akhlak Rasulullah saw yang setiap harinya menziarahi seorang Yahudi yang pernah melemparinya dengan najis?

Saya secara peribadi amat tidak senang dengan situasi yang melanda mahasiswa-mahasiswa kita ini terutama sekali bila memikirkan bahawa mereka ini semuanya merupakan golongan pelajar yang benar-benar terpilih untuk dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan ini, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik dan matang dalam mengendalikan sesuatu perbezaan yang ada serta sentiasa menanti-nantikan ruang kesepakatan yang ada.

Antara perkara yang sering menjadi persoalan saya ialah mengapa kita sering berasa sukar untuk mesra dan bersangka baik dengan perbuatan orang lain yang tidak berada dalam jemaah yang sama dengan kita sedangkan kita tahu perkara yang dilakukannya adalah perkara yang baik. Semestinya perasaan tidak senang dengan orang yang berlainan jemaah ini adalah suatu perkara yang tidak baik dan perlu dihindari sejauh-jauhnya. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapinya?

Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat meminta nasihat daripada seorang murabbi berkenaan perkara ini dan jawapan yang diberikan sangat melegakan. Dunia yang terasa sempit selama ini akhirnya menjadi bagitu lapang untuk saya bernafas semula dalam kesegaran nafas dakwah serta kemanisan ukhuwwah. Berikut merupakan penerangan yang diberikan buat bekalan kita semua;

“Suasana dakwah di luar negara ni ibarat kita sedang berenang di sebatang sungai yang sempit. Di dalamnya ada ramai dai’e yang sedang berenang dan sungai yang sempit itulah gambaran bilangan mad’u yang ada. Masing-masing berenang dengan cara tersendiri untuk menuju ke destinasi yang sama. Sudah menjadi lumrah apabila ramai orang yang berenang pada sebatang sungai yang sempit, pasti sesekali ada yang akan tersakiti oleh yang lain. Mungkin ada yang tersiku, tertarik, tertampar dan sebagainya kerana sungai yang ada itu begitu sempit dan ruang untuk bergerak juga tidak banyak…”

“…Kemudian, bila masa terus berlalu mereka yang berenang di sungai itu tadi akan tiba jua ke muara dan masuklah ke medan baru iaitu laut yang luas tidak bertepi. Sesudah beberapa tahun kita menuntut di luar negara akhirnya kita akan pulang juga ke tanah air untuk menyumbang bakti. Pada masa itu, kita tidak lagi berenang pada sebatang sungai yang sempit tapi kita akan berenang dalam sebuah lautan yang sangat luas dan gelombangnya juga sangat ganas. Terlalu ramai mad’u yang ada dan tenaga dai’e yang ada sangatlah tidak mencukupi. Pada masa ini, kita tidak lagi tersiku atau bertepuk tampar dengan orang lain kerana lautan yang kita renangi itu sangat luas. Bahkan pada masa ini mungkin kita sendiri akan memanggil semula orang-orang yang kita marahkan dahulunya kerana tersiku kita sewaktu berenang di sungai, kerana dalam lautan yang ganas itu nanti, kita hampir-hampir sahaja lemas dan tidak mampu untuk terus berenang bersendirian…”

“…Situasi di tanah air kita ibarat lautan yang luas tersebut. Terlalu ramai orang yang perlu kita ajak kepada dakwah ini sehinggakan kita sendiri-sendiri pasti tidak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Bukan itu sahaja, di Malaysia kini wujudnya pelbagai lagi ancaman seperti gerakan liberal, syiah, hedonisme dan sebagainya yang menjadikan kita seorang sahaja pasti tidak mampu melawannya. Justeru, sementara berenang di sungai yang sempit ini cubalah untuk berlapang dada dan saling bermafaan antara kita. Peliharalah sebaiknya hubungan sesama pendakwah walaupun berbeza jemaah dan fahaman kerana kita sememangnya saling memerlukan dalam perjuangan di tanah air nanti.”

Akhir sekali, marilah kita sama-sama bermuhasabah kembali prestasi hubungan kita dengan Allah swt dan hubungan kita sesama manusia. Hindarkanlah diri kita daripada menjadi golongan yang sentiasa ingin mengeruhkan lagi keadaan serta memutuskan silaturrahim antara sesama mukmin. Janganlah berprasangka buruk terhadap orang lain kerana ianya termasuk dalam larangan Allah swt;

“Jauhilah kebanyakan dari pasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah berdosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang” (Al-Hujurat:12)

p/s: Semoga dengan semakin matangnya kehidupan akan mengajar kita untuk sentiasa berhati besar dan terbuka untuk manusia-manusia lain yang turut sama inginkan kebaikan seperti kita. Wallahu ‘alam.

January 2, 2012

Semangat Pemuda: Hero ataupun Zero?

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 9:11 am

Bismillahirrahmanirrahim…

Tidak dapat dinafikan pada mana-mana zaman sekalipun bahawa golongan pemuda adalah agen perubahan yang paling penting dalam sesebuah negara. Pemuda adalah mereka yang mempunyai segala ciri yang diperlukan untuk sesuatu perubahan itu berlaku kerana mereka sedang berada pada titik kekuatan yang terletak di antara dua titik kelemahan (iaitu masa kecil dan masa tua). Disebabkan itulah kita sering mendengar pada sejarah-sejarah yang tertulis, bahawa pemuda lah yang menjadi tulang belakang terhadap sesuatu kebangkitan sesebuah bangsa.

Menyedari potensi luar biasa yang ada pada golongan muda ini, ramai pihak yang berlumba-lumba menawan hati mereka supaya kelak dapat menjadi agen pelaksana kepada sesuatu ideologi ataupun fahaman. Alhamdulillah, ramai di kalangan pihak tersebut berniat ikhlas dan jujur untuk membimbing pemuda-pemudi ini supaya mempunyai jati diri yang teguh serta matlamat perjuangan yang jelas. Yang paling mustahak ialah matlamat perjuangan tersebut adalah matlamat yang benar dan berpandukan Al-quran dan sunnah Rasulullah saw. Melalui penelitian peribadi, saya dapati beberapa badan NGO yang terdapat di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membimbing anak muda di Malaysia supaya memiliki peribadi dan akhlak seorang muslim yang sebenar serta memberi ruang kepada mereka untuk berjuang pada jalan yang benar iaitu menegakkan semula daulah islamiah. Badan-badan NGO ini mempunyai madrasah tarbiyah yang mampu membentuk individu dan keluarga muslim yang bersedia untuk menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang hidup berlandaskan syariat. Pendekatan yang digunakan ini merupakan suatu qias daripada usaha pembinaan masyarakat yang dilakukan oleh Baginda saw. ketika mentarbiyah para sahabat untuk mendokong pejuangan menegakkan negara Islam.

Berkesempatan menunaikan solat di Masjid Tariq Ibn Ziad, Gibraltar.

Namun demikian, terdapat juga beberapa pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap semangat pemuda yang berapi-api ini untuk dimanfaatkan demi kepentingan peribadi mahupun politik, bukan lagi kepentingan umat. Kita seharusnya mengakui bahawa di sebalik kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam diri anak muda, terdapat suatu kelemahan yang perlu diberi perhatian iaitu kurangnya upaya untuk membuat keputusan dan penilaian dek kerana kurangnya pengalaman hidup. Justeru, kekurangan ini perlu ditampung oleh golongan yang lebih berpengalaman dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan muda supaya segala usaha dan penat lelah mereka dalam berjuang tidak akan menjadi sia-sia dan tiada hala tuju.

Namun, perkara inilah yang saya lihat masih kurang berlaku di tanah air kita. Puak-puak yang mempunyai kepentingan politik dan peribadi ini seringkali mengambil kesempatan terhadap anak muda. Mereka akan menyogokkan pelbagai ideologi perjuangan yang hanya berorientasikan keuntungan terhadap kepentingan mereka tanpa memikirkan musibah yang bakal menimpa golongan anak muda itu sendiri. Akhirnya, perjuangan yang anak muda sangkakan sebagai sebuah perjuangan yang benar rupa-rupanya tidak lebih daripada sebuah percaturan oleh pihak yang berkepentingan. Mereka ibarat bidak-bidak yang digerakkan di atas papan catur mengikut percaturan tangan-tangan yang berkepentingan.

Saya berasa sangat sedih dan kecewa dengan situasi yang melanda anak muda pada ketika ini. Di saat pohon-pohon tarbiyah sudah mula menguntumkan hasilnya, terdapat tangan-tangan zalim yang sudah tidak sabar memetiknya lalu akhirnya bunga itu mati kelayuan sebelum sempat umat menikmati kesan tarbiyah ini. Pemuda-pemudi yang bakal dilahirkan sebagai pendokong agama ini telah ramai yang tertipu dengan mainan politik di tanah air. Saya tidak bermaksud yang seorang pemuda atau pemudi itu tidak perlu terlibat dalam politik malahan saya katakan itu adalah sebagai tanda pedulinya mereka kepada keadaan umat. Namun, apa yang saya kecewakan ialah ketika mana pemuda-pemudi ini berjuang bukan kerana kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan mereka tetapi lebih kepada sentimen-sentimen yang ditabur oleh sesetengah pihak.

Belakangan ini, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa peristiwa yang melibatkan golongan pemuda khususnya siswa dan siswi tempatan. Sebagai contoh, peristiwa saudara Adam Adli yang menurunkan banting yang mempunyai gambar Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak kerana tuntutan mereka untuk kebebasan institusi pendidikan daripada politik tidak dilayan oleh pihak yang sepatutnya. Peristiwa terbaru yang berlaku ialah peristiwa berdarah pada malam tahun baru yang menyaksikan beberapa mahasiswa tercedera dalam perbalahan dengan pihak polis dan FRU. Menurut laporan, mereka berhimpun pada malam tersebut kerana ingin menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap pihak pentadbiran UPSI yang tidak bersikap professional dalam membincangkan permasalahan yang mereka perjuangkan di samping kes penggantungan saudara Adam Adli oleh pihak universiti.

Pertama sekali, saya ingin sampaikan ucapan takziah dan simpati saya kepada individu-individu yang telah tercedera dalam peristiwa tersebut. Saya juga tidak ingin membuat sebarang komen secara langsung terhadap peristiwa yang berlaku ini. Apa yang ingin saya utarakan di sini lebih bersifat muhasabah dan refleksi terhadap perkara yang telah berlaku. Seperti huraian yang telah saya nyatakan di awalnya, golongan muda adalah mereka yang mempunyai semangat yang luar biasa. Sesuatu idea ataupun keinginan mampu diterjemahkan kepada sebuah realiti bila ada penglibatan daripada golongan pemuda. Buktinya, lihat sahaja peristiwa-peristiwa yang saya nyatakan sebentar tadi. Semuanya itu didokong dan dijayakan oleh anak muda.

Secara jujurnya, saya merasakan sudah tiba masanya untuk semua anak muda terutama di tanah air kita untuk kembali bertanya kepada diri sendiri, apakah sebenarnya yang sedang kalian perjuangkan? Cuba tanya dengan sejujur-jujurnya dengan membuang sebarang prasangka dan semangat fanatik kepartian yang melampau. Isu, ideologi atau fahaman apakah yang sedang kalian perjuangkan? Adakah ianya sebuah perjuangan benar yang diqiaskan daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad saw ataupun hanya rekaan manusia-manusia yang menjadi tokoh di mata anda sedangkan perjuangan itu hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja? Sekiranya anda mampu bertanya dengan sejujur-jujurnya, pastilah anda akan menemukan matlamat perjuangan yang sebenar dan bukannya menjadi kuda tunggangan terhadap perjuangan orang lain.

Akhir sekali, anak muda perlu tentukan dengan jelas matlamat perjuangan yang ingin dipegang kerana itulah yang akan menentukan samada anda menjadi HERO ataupun ZERO ketika hayat anda di dunia ini. Wallahu’alam.

 

December 30, 2011

Semangat sebesar gunung!

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 11:33 pm

Bismillahirrahmanirrahim….

Tahun 2011 akan meninggalkan kita bersama semua perkara yang telah terjadi di dalamnya. Semua itu akan termaktub sebagai sejarah hidup kita yang dipanggil pengalaman dan menjadi persembahan amalan kita kepada Allah swt. Mudah-mudahan segala amalan kita akan diterima oleh Allah swt.

“Manusia yang hidup dengan berpegang dengan bersungguh-sungguh terhadap sesuatu prinsip yang diimaninya akan berasa puas dengan kehidupan ini. They live or die with it.”

Undang-undang ini adalah universal dan relevan terhadap semua manusia. Sekiranya seorang pencuri itu hidup berpegang dengan kepercayaannya bahawa dia perlu mencuri dan bersungguh-sungguh melaksanakannya, pastilah dia akan berasa puas dengan hidupnya meskipun perkara yang dilakukannya adalah suatu kesalahan. Keseluruhan hidupnya adalah tentang mencuri dan dia akan bermati-matian untuk perkara yang menjadi pegangannya itu.

Kita mengaku bahawa kita beriman dengan jalan dakwah ini. Kita percaya bahawa ini adalah jalannya untuk mengembalikan manusia mentaati perintah Allah swt. Kita juga beriman bahawa mewakafkan diri untuk jalan dakwah ini adalah suatu perkara yang mampu membawa kita ke syurgaNya. Namun, kita masih boleh bermain-main dan tidak serius dalam melaksanakan tugasan ini. Kita tidak mempunyai perasaan untuk ‘all out’ dalam dakwah ini. Dalam tidak kita sedari, dakwah yang kita lakukan ini hanya sekadar memenuhi ruang-ruang waktu senggang milik kita. Apabila bertembung dengan kehendak-kehendak lain, maka dakwah ini akan kita campak ke tepi.

“Seberapa banyak masa yang kita habiskan untuk dakwah apabila sudah bekerja nanti sebenarnya bergantung kepada seberapa banyak masa yang kita habiskan untuk dakwah ketika masih belajar.”

Saya punya seorang kawan yang sangat saya kagumi. Saya menjadi kagum apabila melihat kepada kesungguhannya untuk melaksanakan perkara yang dia sukai. Sebahagian besar masanya dihabiskan untuk menulis dan membaca karya-karya sastera untuk membekalkannya dengan idea-idea yang banyak untuk membantu penulisannya. Setiap malam dia akan bersengkang mata untuk penulisannnya dan esoknya dia jugalah orang yang paling awal bangun untuk terus mengejar cita-citanya itu. Melihat kepada kegigihannya, saya menjadi malu kepada diri sendiri kerana tidak ada upaya dan kesedaran yang setinggi itu untuk benar-benar mengejar kepercayaan saya sendiri.

Kita perlu mempunyai semangat yang sekokoh gunung! Biar seberapa sukarpun dugaan yang akan datang menimpa, kita tetap akan bertahan dan berusaha mengejar cita-cita kita. Sekiranya kita telah percaya bahawa penglibatan kita dalam jalan dakwah ini merupakan pilihan yang kita yakin dengan sedalam-dalamnya, maka kita perlu menjadi lebih gigih untuk terus berpegang dengan kepercayaan itu dan memberikan usaha yang semaksima mungkin terhadap usaha dakwah kita. 

Akhir sekali, saya kongsikan di sini sebuah nasihat daripada seorang abang yang namanya tidak pernah tercatat pada mana-mana buku. Nasihat ini adalah daripada seorang nelayan yang tidak sejauh saya pelajarannya, namun setiap hari belajar daripada alam.

“Adik, alang-alang hang randuk air, biar basah terus. Alang-alang hang dah berenang biar sampai ke seberang. Bila hang dah nekad nak buat sesuatu perkara, hang kena teruskan sampai habis. Sampai selesai.”

Saya doakan semoga Allah swt membuka dengan seluas-luasnya pintu hidayah kepada insan yang telah banyak memberikan inspirasi dan pelajaran buat saya selama ini. Wallahu’alam.

 

 

 

 

December 29, 2011

Who moved my cheese?

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 10:23 pm

Assalamualaikum wbt…

Jalinan Ukhuwwah Musim Sejuk 2011 (JUMS’11) telah pun melabuhkan tirainya pada 26 Disember yang lalu. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah swt yang telah mempermudah dan melancarkan perjalanan program. Banyak pelajaran penting yang dapat dibawa pulang ke tempat masing-masing setelah menghadiri program ini.

Pertama sekali, kita harus jelas tentang matlamat hidup kita di dunia ini. Manusia yang telah kehilangan matlamat hidupnya perlu segera sedar dan mencari kembali matlamat hidupnya. Tiada matlamat yang lebih agung bagi seorang manusia melainkan menegakkan kembali islam di muka bumi ini. Allah swt telah memberikan dua tugasan utama kepada setiap manusia iaitu beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah di bumi ini. Dua tugasan ini perlu kita laksanakan sebaik mungkin untuk memastikan islam akan kembali tertegak di dunia ini.

Who moved my cheese? – Soalan ini perlu kita tanyakan kepada diri sendiri kerana matlamat hidup kita telah banyak dipesongkan oleh agenda-agenda barat yang pelbagai. Kita telah diserang dalam pelbagai bentuk dan yang paling bahaya adalah serangan pemikiran ke atas umat islam. Serangan demi serangan dilakukan sehingga umat Islam kini berasa lemah dan tidak merasa izzah terhadap islam. Kita disogokkan dengan rasa cinta kepada dunia dan takut mati. Identiti kita juga telah tercemar dengan anasir-anasir yang negatif. Banyak yang ada dalam fikiran kita hanyalah untuk kepentingan peribadi seperti memiliki harta yang banyak, mempunyai pangkat yang besar, pengaruh yang kuat dan macam-macam lagi. Kita sudah tidak mementingkan agenda ummah dalam setiap perbuatan kita.

Smell your cheese! – Ummat Islam kini perlu mencari semula matlamat hidup yang jelas iaitu untuk menegakkan kembali daulah islamiah di atas muka bumi ini. Kita perlu berusaha agar Islam akan kembali memerintah dunia ini dan seluruh ummat manusia akan kembali merasai kemanisan bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil. Orang yang mempunyai agenda hidup dan berpegang dengan bersungguh-sungguh atas agenda tersebut akan merasa puas dengan kehidupannya. Oleh itu, kita perlu memilih agenda membangunkan semula jatidiri ummat islam yang telah terlalu lama lesu.

Master your cheese! – Setelah memilih matlamat hidup yang jelas, kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Sekiranya seseorang itu ingin menjadi doktor pakar bedah jantung, sudah pasti dia akan menjalankan usaha-usaha yang akan membolehkannya mencapai cita-cita tersebut. Begitu jugalah keadaannya dengan hidup kita secara keseluruhannya. Orang yang mengimpikan untuk bersama para anbia dan orang-orang soleh di syurga Firdaus perlulah berusaha seperti berusahanya orang yang ingin ke syurga Firdaus. Jadi, kita perlu berubah untuk mencapai cita-cita tersebut. Apa yang ingin diubah? kita perlu mengubah kualiti ibadah kita, kualiti akhlak kita, dan kualiti kerja dakwah kita. Jika kita benar-benar ingin ke syurga, kita perlu sedar bahawa ianya tidak diberikan dengan mudah. Kita perlu menjadikan dakwah kepada Allah itu sebagai agenda paling besar dalam hidup kita. Sabda Rasulullah saw; “Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah swt kerana usaha kamu, maka ketahuilah bahawa ianya lebih baik daripada dunia dan isinya.”

Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang Allah swt berikan kepada kita sekiranya kita mampu mengajak seorang manusia kembali dekat kepada Allah swt. Menyedari hakikat ini, kita tidak boleh lagi bermain-main dalam mengajak manusia kepada kebaikan ini. Kita perlu lebih serius dalam melakukan dakwah. Kuantiti masa kita perlu kita berikan sebanyak yang mungkin kepada dakwah ini. Jiwa kita dan harta kita juga perlu kita serahkan sebanyak yang mungkin kepada dakwah ini. Setelah itu, kita serahkan segala ketentuan kepada kehendak Allah swt kerana Dia lah yang menentukan segalanya di dunia ini.

Akhir sekali, marilah bermuhasabah tentang keadaan diri kita pada saat ini. Adakah kita berada pada jalan yang benar untuk menyampaikan kita kepada redha Allah swt atau masih belum ke arah itu. Semak semula amalan harian kita seperti bacaan Al-Quran, solat berjemaah, zikir harian, kerja dakwah dan lain-lain.

Pesanan: “Menyedari benarnya kematian di penghujung kehidupan kita, maka berubah untuk menjadi yang terbaik di sisi Allah swt bukan lagi pilihan bahkan ianya keperluan yang mendesak”

November 27, 2011

Salam Maal Hijrah.

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 6:17 pm

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah swt yang telah menyampaikan kita ke tahun baru 1433 Hijrah. Semoga tahun-tahun yang berlalu dalam kehidupan kita diampuni dan dirahmati. Kita juga berdoa agar di tahun-tahun yang mendatang ini kita sentiasa diberikan taufik dan hidayah untuk terus mentaati perintah-Nya dalam segenap kehidupan kita sehinggalah kita kembali dalam keadaan yang diredhai-Nya.

Bersempena menyambut kehadiran tahun baru Hijrah ini, marilah kita mengenang dan menginsafi kembali sejarah agung penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat dalam menyebarkan rahmat Islam kepada umat manusia yang lain. Begitu banyak kisah menarik yang telah berlaku yang hanya dengan mendengarnya sahaja mampu membuatkan kita menitiskan air mata keinsafan atas kelalaian dan sikap bermain-main kita dalam beragama.

Salah satu kisah tersebut ialah perjanjian Aqabah 1 dan 2 di antara Rasulullah saw dengan rombongan Ansar. Melalui perjanjian ini orang-orang Ansar telah berjanji untuk melindungi Rasulullah saw dari segala ancaman bahkan daripada kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom dan Parsi. Salah seorang daripada mereka telah bertanya,

“Wahai Rasulullah, kami telah berjanji untuk melindungimu dengan segala kemampuan kami termasuklah nyawa kami. Apakah jaminan daripadamu untuk kami wahai kekasih Allah?”

“Allah menjanjikan syurga untuk kamu dan aku akan sentiasa bersama kamu.”

Perjanjian yang dimeterai ini telah membuatkan catatan sejarah perjalanan hidup Rasulullah saw bersama Ansar menjadi sebuah kisah agung yang tiada bandingannya. Sebuah ikatan hati yang begitu unik yang mengisahkan betapa hebatnya Rasulullah saw berpegang pada janji baginda terhadap Ansar. Begitu juga Ansar yang bermati-matian untuk menunaikan janji mereka kepada baginda.

Peperangan demi peperangan yang berlaku, Ansar lah yang akan berada di barisan paling hadapan, paling hampir dengan Rasulullah saw. Dalam peperangan Hunain, tentera Islam yang pertama kalinya lebih ramai daripada musuh telah menyangka bahawa kekuatan itu hadir bersama bilangan tentera namun Allah swt mengajar mereka jika segala kekuatan itu sebenarnya daripada Allah swt. Mereka hampir tewas pada separuh pertama peperangan tersebut. Ramailah sahabat-sahabat yang masih baru memeluk Islam ketika pembukaan Makkah bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah saw di tengah-tengah keganasan musuh. Sahabat-sahabat hebat yang mendengar pengunduran kaum muslimin turut berundur kerana menyangka ianya sebahagian daripada strategi peperangan lalu yang tinggal di sisi Rasulullah saw pada ketika itu hanyalah kaum Ansar. Tidak seinci pun mereka berganjak meninggalkan baginda kerana ianya sebagai bukti keteguhan janji mereka untuk melindungi baginda saw. Akhirnya menanglah kaum muslimin sebelum sempat sahabat-sahabat lain tiba memberikan bantuan.

Pada peperangan inilah keteguhan janji mereka benar-benar diuji Allah swt. Usai peperangan, Rasulullah saw membahagikan harta-harta rampasan perang kepada sahabat-sahabat lain dan kebanyakannya kepada kaum Arab yang baru memeluk Islam untuk melembutkan hati mereka. Apabila selesai urusan pembahagian harta rampasan perang, yang tinggal untuk kaum Ansar ketika itu hanyalah lebihan-lebihan harta yang sangat sedikit. Hati mereka sedikit terusik kerana tindakan baginda saw yang mengutamakan sahabat lain berbanding mereka sedangkan merekalah yang berada di sisi baginda saw saat sahabat lain lari meninggalkan baginda.

Maka bercakaplah sesama mereka mengenai pembahagian harta yang membelakangi mereka tersebut sehingga sampailah ke telinga baginda. Rasulullah saw yang mendengar rungutan tersebut memanggil Ansar untuk bertemu dengannya lalu ditenungnya seorang-seorang daripada mereka. Baginda tahu hati mereka begitu terusik saat itu kerana pembahagian tersebut seolah-olah membelakangi mereka. Baginda juga tahu jika hati mereka sangat sedih dan bimbang setelah pembukaan kota Makkah. Mereka bimbang jika baginda akan kembali ke Makkah dan tidak lagi tinggal bersama mereka di Madinah.

“Wahai Ansar yang mulia, adakah kamu marah kepadaku?

Baginda memulakan bicara setelah membacakan ayat-ayat suci Al-quran dan pujian bagi Allah swt. Baginda kemudian menyambung;

“ Bukankah dahulu kamu sesat kemudian aku datang membimbing kamu? Bukankah kamu miskin dahulunya kemudian Allah jadikan kamu berharta? Bukankah kamu bermusuhan lalu Allah satukan kamu?”

“Benar wahai Rasulullah. Allah dan rasul-Nya lebih bernilai dari semuanya.”

“Apa yang menghalang kamu untuk menjawab kata-kataku wahai Ansar?” Tanya baginda apabila mereka hanya membenarkan kata-katanya tanpa sebarang soalan.

“Apa yang sepatutnya kami katakan wahai Rasulullah?”. Jawab salah seorang daripada mereka.

Rasulullah saw kemudian menyambung;

“ Tetapi demi Allah kamu boleh menjawab dengan jawapan yang benar, yang aku sendiri mengakui kebenarannya: Bukankah kamu (Rasulullah) datang dalam keadaan terbuang lalu kamu menerimamu, kamu datang tanpa bantuan lalu kami menolongmu, kamu miskin lalu kami cukupkanmu?”

“Wahai Ansar, adakah kamu risaukan harta yang aku berikan kepada mereka sedangkan aku mengajak mereka kepada agama yang kamu tegakkan? Adakah kamu masih tidak berpuas hati sedangkan mereka pulang dengan harta-benda sedangkan kamu pulang bersamaku ke Madinah? Demi Allah yang nyawaku di tangannya, jika tidak berlakunya penghijrahan maka aku ingin menjadi sebahagian daripada Ansar, jika ada orang melalui satu jalan dan kamu wahai Ansar melalui jalan yang lain, nescaya aku melalui jalan yang dilalui Ansar. Wahai Allah! Rahmatilah Ansar, anak-anak mereka dan keturunan mereka.”

Maka bercucuran lah air mata mereka apabila mendengarkan kata-kata baginda tersebut. Sedarlah mereka kini bahawa Rasulullah saw telah berpegang teguh kepada janjinya. Mereka pulang membawa baginda saw untuk terus tinggal bersama mereka di Madinah hinggalah ke akhir hayat baginda saw.

Begitulah kisah agung dalam menepati janji yang diajarkan melalui contoh langsung daripada baginda saw dan kaum Ansar. Tiada yang lebih baik yang dapat kita lakukan setelah mendengar kisah ini melainkan dengan mengamalkannya pula dalam kehidupan seharian. Penuhilah segala janji yang kita adakan dengan manusia lain kerana di situ letaknya kepercayaan orang terhadap kita. Jika seorang da’ie tidak mampu berpegang pada janjinya, manusia mana lagi yang akan tertarik dengan seruan kita kepada agama ini?

Semoga tahun baru ini menjadikan kita seorang manusia yang bersungguh-sungguh memelihara janji kita. Akhir sekali, marilah sama-sama kita menghijrahkan kehidupan kita kepada yang lebih baik di tahun yang baru ini. Tuliskanlah secara jelas impian-impian dan harapan yang ingin dicapai supaya kita lebih kuat keazaman untuk berubah. Sekian, Wallahu ‘alam.

November 2, 2011

Dai’e merajuk siapa yang memujuk?

Filed under: Uncategorized — Firdaus @ 6:46 pm

Assalamualaikum wbt…

Alhamdulillah, setinggi-tinggi ucapan kesyukuran kepada Allah swt yang telah memberikan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Kita juga berasa sangat bersyukur kerana telah dipilih untuk berada di jalan tarbiyah ini di saat ummat ini sedang kebakaran. Kecelaruan identiti dan segala macam lagi kerosakan yang sedang melanda umat Islam masa kini memerlukan kepada kuatnya keazaman dan cita-cita Sang dai’e untuk terus mengajak manusia supaya kembali mentaati perintah Allah swt. Setiap dai’e perlu sedar akan dua tanggungjawab yang telah diamanahkan daripada Allah swt untuk kita iaitu ubbudiyah kepada Nya dan menjadi khalifah di muka bumi ini.

Usaha mendidik manusia supaya kembali semula kepada kehidupan Islam yang sebenar bukanlah suatu tugas yang mudah. Usaha ini akan menagih segala-galanya daripada seorang dai’e termasuklah harta, masa, tenaga, jiwa dan raga. Semuanya itu perlu diberikan dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan sekalipun. Jika balasan bersifat duniawi yang menjadi kayu ukur tahap pengorbanan seorang da’ie, maka akhirnya dia akan kecewa bila semua usahanya selama ini tidak mendapat balasan daripada orang yang diserunya itu.

Para da’ie sekalian, ingatlah! kadang-kala ada sebahagian daripada usaha murni anda akan dipandang serong oleh yang memandang, akan dikritik oleh yang berkata, akan dihukum oleh yang menghukum dan akan dibanding-bandingkan oleh yang membanding. Usaha anda hanya akan dihargai oleh yang bekerja untuk agama ini. Ingatlah! semuanya itu tidak sedikit pun membantu atau menghalang usaha murni anda selagi mana anda terus bekerja demi kesukaan Allah dan bukan manusia.

Para dai’e sekalian, jika anda pernah terasa hati, merajuk atau merasa lemah untuk terus melangkah dalam jalan tarbiyah ini, ingatlah! semuanya itu dalam pengetahuan Allah swt. Hanya Dia yang tahu betapa susah dan payahnya ujian yang sedang anda lalui. Hanya Dia jualah yang mampu memujuk rajuk di hati anda wahai para da’ie yang mulia sekalian.

Tidakkah hati anda merasa lega dengan kalam-kalam cinta yang memujuk dan merasa kuat dengan  janji-janji benar di dalam Al-Quran? Semuanya itu Allah swt titipkan buat bekalan anda wahai para da’ie sekalian.

Wahai para da’ie sekalian, anda sepatutnya merasa kuat kerana setiap kali anda terluka dalam usaha dakwah ini, Allah swt akan sentiasa ada untuk anda. Akan sentiasa memujuk anda dengan janji-janjiNya yang Maha benar. Oleh itu, teruskan berfikir, bekerja dan berkorban wahai para da’ie sekalian sehinggalah kita bertemu dengan janji masing-masing.

Ummat yang sedang kebakaran siapa yang ingin bertanggungjawab? Merajuknya seorang dai’e, siapa lagi yang akan menggalas beban dakwah ini? Kuatlah para da’ie sekalian kerana pertolongan Allah itu sangat dekat.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu.” (Muhammad:07)

Theme: Rubric. Blog at WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.